SETIAP kali Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik bertemu warga guru dalam mana-mana program atau platform pendidikan, beliau pasti menyebut akan pentingnya guru-guru menerapkan nilai kasih sayang, kegembiraan dan saling menghormati.

Sesungguhnya, semua warga guru sudah lama faham akan makna dan maksud setiap frasa yang beliau ungkapkan itu. Dalam kalangan guru, hal ini bukanlah perkara baharu kerana sejak sekian lama lagi nilai-nilai murni sudah diterapkan dalam pengajaran guru dan pembelajaran murid.  

Dalam rancangan pelajaran mingguan dan harian, bagi setiap mata pelajaran yang akan diajar, guru menulis beberapa nilai murni yang akan diterapkan sepanjang pengajaran mereka. Nilai murni yang ditulis itu dipilih supaya bersesuaian dengan topik pelajaran yang diajar.

Justeru, apabila Menteri Pendidikan membangkitkan hal ini semula, sebenarnya gagasan beliau merupakan proses penyegaran dan pembugaran sahaja. Guru-guru sekian lama tahu bahawa nilai murni mesti diterapkan dalam pengajaran, malah nilai-nilai murni tersebut ada disenaraikan dalam buku persediaan mengajar guru.

Guru tahu ada nilai murni teras dan nilai murni sampingan yang mesti dinilai untuk dimasukkan dalam slot pengajaran mereka.  Biasanya guru-guru akan menyenaraikan tidak lebih dari tiga nilai murni dalam rancangan pelajaran harian mereka. Nilai kasih sayang dan kegembiraan biasanya hadir dalam setiap pembelajaran murid.  Begitu juga dengan nilai saling menghormati.

Oleh sebab itu, walaupun ada saranan menteri supaya sekolah hendaklah dijadikan tempat memupuk kasih sayang, kegembiraan dan saling menghormati, sebenarnya nilai-nilai ini malah banyak lagi nilai murni telah diterap dan terterap dengan sendirinya, sama ada di dalam bilik darjah mahupun di luar bilik darjah.  

Nilai-nilai ini dapat dikesan dalam interaksi antara guru dengan murid dan dalam apa juga perlakuan pelbagai pihak dalam program yang dijalankan di sekolah.

Menerapkan nilai murni dalam bilik darjah agak mudah kerana prosesnya hanyalah melibatkan guru dengan murid yang diajar tetapi mewujudkan seluruh warga sekolah untuk memaparkan tindak laku saling menyayangi, gembira dan saling menghormati bukanlah sesuatu yang mudah untuk diusahakan.  

Menyebut nilai murni tidak semudah melaksanakan penerapannya. Hal ini kerana sekolah sebagai sebuah institusi pendidikan mempunyai sekurang-kurang lima komponen yang menggabunginya – pengetua dan guru besar, guru, murid, ibu bapa (PIBG), dan masyarakat setempat.

Semua anggota komponen ini mempunyai peranan masing-masing untuk membangunkan budaya dan amalan nilai murni sekolah. Pengetua dan guru besar selaku pengurus dan pentadbir sekolah mempunyai tugas berat untuk mengajak semua komponen institusi sekolah supaya  saling berkasih sayang, bergembira dan saling menghormati.  

Kapasiti yang ada pada pengetua, guru besar tertakluk dalam lingkungan pentadbirannya sahaja. Sebagai contoh, program sukan tahunan sekolah merupakan pentas terbaik untuk memupuk kasih sayang, kegembiraan dan saling menghormati antara guru dengan ibu bapa dan anak mereka atau murid.  

Walau bagaimanapun, bagaimanakah pemupukan nilai-nilai ini dapat dilakukan jika sebahagian besar ibu bapa tidak hadir pada hari temasya sukan dijalankan.

Oleh sebab itu, walaupun idea Dr Maszlee sesuatu yang amat murni sifatnya tetapi dari pelaksanaannya perlu difikirkan dengan mendalam. Hubungan yang baik dan mesra antara pentadbir sekolah, guru dan staf sokongan serta murid perlulah pelbagai hala. Setiap anggota komponen sekolah hendaklah mempunyai kesedaran bahawa inti pati harapan Menteri Pendidikan dalam era Malaysia Baharu perlukan komitmen semua pihak untuk sama-sama menjayakannya. Jika tidak, impak besar ingin dicapai merupakan impian yang realitinya ‘separuh masak’ sahaja.

* Penulis ialah Munsyi Dewan sejak tahun 1995, pesara pegawai pendidikan daerah dan bekas guru pakar Bahasa Melayu