ISTILAH guru duka lara sudah macam tidak kedengaran lagi semenjak Menteri Pendidikan bertukar tangan. Istilah guru duka lara amat sinonim dengan Menteri Pendidikan terdahulu kerana beliau sering mencanang isu tersebut.

Guru duka lara dapatlah ditakrifkan sebagai guru-guru yang terpisah jauh antara suami dengan isteri atau anak dengan ibu bapa – yang jauhnya tidak membolehkan mereka tinggal serumah. Paling jauh adalah seorang di Semenanjung manakala seorang lagi di Sabah atau Sarawak.

Antara pertimbangan penting yang menyokong atau tidak menyokong pertukaran ialah bilangan guru mengikut kepala dan bilangan guru mengikut opsyen mata pelajaran di sesebuah sekolah, daerah atau negeri.

Jika dibenarkan berlaku kekosongan, adakah sekolah, daerah dan negeri tersebut mendapat pengganti atau tempat yang kosong itu diisi oleh guru yang opsyennya sama?

Di peringkat Kementerian Pendidikan pula pegawai-pegawai yang terlibat dengan urusan pertukaran akan memikirkan sama ada bilangan guru di sesebuah negeri sudah cukup atau tidak.

Dalam kes pertukaran guru antara negeri ini, Menteri Pendidikan terdahulu pernah menyatakan bahawa hanya sebahagian sahaja guru duka lara dapat ditempatkan di negeri yang mereka pilih.

Hal ini sedemikian ialah faktor ‘tak boleh masuk’. Sebagai contoh, guru-guru yang ingin ke Kelantan, tak boleh masuk kerana di Kelantan sudah cukup guru dan mereka semua terdiri daripada anak Kelantan sendiri.

Anak Kelantan yang menjadi guru lebih 50,000 orang sedangkan keperluan guru di Kelantan sekitar 35,000 orang sahaja.

Berbagai-bagai cara dibuat untuk memastikan permohonan pertukaran berjaya. Walaupun permohonan pertukaran di buat secara ‘online’ tetapi ada juga guru yang menulis surat khas berserta surat sokongan kepada pegawai-pegawai yang terlibat dengan urusan meluluskan pertukaran. Surat-surat rayuan pertukaran juga dihantar kepada pelbagai peringkat pegawai.

Penulis juga, selaku pegawai pendidikan daerah suatu ketika dahulu, pernah menerima beberapa surat permohonan pertukaran guru dari Sarawak yang ingin kembali ke daerah tadbiran penulis.

Mereka merayu supaya permohonan disokong dan diterima. Amat simpati dengan alasan yang diberikan, tetapi penulis tidak boleh berbuat apa-apa, selain tiada kuasa meluluskan, proses permohonan pertukaran dari sekolah asal mestilah mengikut saluran betul.

Pertukaran guru juga melibatkan arahan pentadbiran seperti pertukaran setara atas sebab-sebab tertentu dan naik pangkat. Penulis berpengalaman menerima pertukaran beberapa guru perempuan dari negeri utara tanah air ke negeri daerah penulis yang agak jauh kerana mereka naik pangkat sebagai guru besar suatu ketika dahulu.

Pertukaran mereka adalah atas arahan pentadbiran. Semua mereka sudah berumahtangga dan mempunyai anak peringkat sekolah menengah.

Sekiranya mereka menolak pertukaran itu, mereka tidak berpeluang menjadi guru besar kerana di negeri mereka tiada kekosongan tempat guru besar pada masa itu. Dan jika menolak mereka juga dikira ingkar perintah dan boleh diberikan surat tunjuk sebab.

Justeru, mereka menerima sahaja pertukaran walaupun berasa berat hati. Harapan mereka ialah supaya dapat ditukarkan semula ke negeri asal secepat yang mungkin.

Alhamdulillah, setelah melalui pelbagai kepayahan selama lebih kurang setahun setengah di perantauan, akhirnya mereka dapat ditukarkan semula ke negeri asal mereka malahan ada yang dapat sekolah berdekatan dengan rumah mereka.

Kita sedia memahami guru duka lara akan menjadi tidak keruan dan prestasi kerja mereka akan terjejas. Kesabaran menunggu ada hadnya tetapi bagaimana pihak berwajib boleh memenuhi tuntutan mereka kerana khidmat bakti mereka masih diperlukan oleh murid-murid di sekolah mereka bertugas pada masa itu.

Mana perlu lebih diutamakan antara kehendak perkhidmatan dengan kehendak peribadi. Amat sukar sekali untuk menjawabnya.

* Penulis ialah Munsyi Dewan sejak tahun 1995. Beliau merupakan pesara pegawai pendidikan daerah dan bekas guru pakar Bahasa Melayu