MENARIK perhatian saya setelah membaca dan melihat kenyataan-kenyataan Presiden MCA yang baharu Datuk Seri Dr Wee Ka Siong agar Barisan Nasional ( BN ) dibubarkan.

Secara jujur itu merupakan kenyataan yang tidak sepatutnya dikeluarkan jika beliau masih menghormati rakan pimpinan parti-parti komponen yang masih setia dalam BN seperti Umno, MIC, MY PPP dan PBRS.

Seharusnya Ka Siong tidak membuat kenyataan seperti ini kerana BN bukan milik MCA secara mutlak walau MCA bersama Umno seawal 1952 dalam Perikatan.

Seharusnya sejarah bersama berjuang selama ini dilihat dalam konteks yang baik dan betul bukan semata menyalahkan Umno atau BN.Rasa tidak hormat ini dizahirkan MCA bila tidak lagi menjemput Presiden BN sebagai Perasmi Persidangan Mesyuarat Agong mereka Ke 65. Parti-parti komponen lain juga tidak dijemput dan ini menjelaskan hala-tuju keputusan yang bakal dibuat oleh MCA dalam mesyuarat mereka.

Ka Siong lupa bahawa MCA masih mempunyai satu kerusi Parlimen dan dua kerusi Dun kerana rakan parti lain dalam komponen.Ini jelas bila Ka Siong sendiri hanya menang majoriti 303 di kawasan Parlimen Ayer Hitam yang terdiri dari majoriti Melayu iaitu 66.72% dan jelas 31% pengundi Cina tidak mengundi Ka Siong.

Sama situasinya dengan dua Dun yang dimenangi MCA iaitu di Dun Cheka (Pahang) dengan majoriti 202 di kawasan 71.4% majoriti pengundi Melayu. Di Dun Titi Tinggi (Perlis) menang dengan majoriti 142 di kawasan 77.8% majoriti pengundi Melayu.

Tanpa bantuan dari Umno dan komponen lain sudah pasti MCA tidak akan menang walau satu kerusi dalam PRU14 yang lepas.

Dari senario itu sepatutnya MCA membubarkan parti mereka dan menjenamakan semula agar boleh meraih kepercayaan kaum atau pengundi Cina dan bukan mahu membubarkan BN kerana MCA tidak ada hak.

Membubarkan BN harus dibincangkan dengan rakan komponen bukan mengeluarkan kenyataan yang tidak masuk akal sebegini.

Dalam PRU14 lepas MCA hanya mampu meraih undi Cina sebanyak 2.5% dan ia mencerminkan penolakan kaum Cina kepada MCA bukannya kepada BN.Tanpa BN tiga kerusi yang dimiliki MCA hari ini tidak akan wujud.

Seharusnya MCA mendapatkan 20% undi kaum Cina untuk memenangkan BN di banyak lagi tempat dan kawasan.

Bagi BN, MCA merupakan faktor utama kepada kekalahan BN pada PRU 14 yang lepas khususnya kawasan-kawasan majoriti besar kaum Cina.

Saya mengharapkan kenyataan-kenyataan sebegini tidak keluar dari pimpinan dalam BN kerana ianya boleh dibincangkan secara musyawarah dan ada caranya.

Saya menganggap kenyataan sebegini sebagai satu kenyataan yang melambangkan keangkuhan MCA  bertujuan hanya untuk menutup kelemahan sendiri.

* Ismail Sabri Yaakob , Naib Presiden Umno