BEBERAPA hari yang lepas saya telah menulis dalam kolum ini satu rencana di bawah judul 'Seminggu berlalu banyak yang berlaku'.

Rencana tersebut membawa pembaca mengimbas kembali rentetan peristiwa-peristiwa besar yang berlaku dalam tempoh seminggu kebelakangan ini.

Namun fokus saya ialah tentang pergolakan yang berlaku dalam Umno di mana Umno Sabah telah menjadi lumpuh apabila hampir keseluruhan wakil rakyat dan pemimpin-pemimpin kanan mereka beramai-ramai keluar parti. Sementara itu di Semenanjung pula, seramai enam Ahli Parlimen dari Umno juga ikut keluar parti.

Apa yang lagi mengemparkan ialah pendedahan salah seorang Ahli Parlimen tersebut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, bahawa pada bulan lepas seramai 36 Ahli Parlimen (33 dari Umno, dua dari MIC dan seorang dari Sabah) telah berikrar untuk menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad dan kerajaannya.

Jika itu yang berlaku, maka apa lagi yang tinggal atau ada pada Umno?

Sekarang isu tersebut masih hangat dibincang dan diperkatakan oleh pemerhati politik dan rakyat jelata.

Saya rasa terpanggil untuk memberi ulasan dan komentar lanjut dan susulan tentangnya.

Teori konspirasi

Sesetengah komentator dan pemerhati politik telah mentafsirkan perkembangan mutakhir ini sebagai lanjutan kepada pergelutan kuasa di antara Tun M dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dikatakan, konon-kononnya Hamzah dan gerombolannya telah memilih untuk bersama-sama Tun M dalam perang proksi ini, sementara Datuk Seri Nazri Aziz pula bersama orang-orangnya memilih untuk memihak kepada Anwar.

Teori ini sudah lama dijaja oleh Umno dan cyber troopers mereka untuk melaga-lagakan Anwar dan Tun M. Tetapi setakat ini belum berjaya memecah kesatuan di antara Tun M dan Anwar dan juga kesepakatan dalam PH. Pun begitu ada sebahagian masyarakat yang kurang kritis dalam penilaian mereka telah termakan dengan dakyah tersebut.

Bagi mereka yang rapat dengan Tun M dan Anwar dan lebih tahu tentang hubungan dan kesefahaman di antara mereka berdua, teori konspirasi tersebut adalah tidak berasas sama sekali.

Malah semalam Anwar telah pun mengeluarkan kenyataan bahawa pergolakan dalam Umno langsung tidak ada kaitan dengan beliau atau Tun M. Cerita yang ditimbulkan bahawa ia adalah lanjutan kepada peperangan proksi di antara mereka berdua adalah tidak benar sama sekali. Anwar sekali lagi mengambil kesempatan untuk menyatakan taat setianya kepada Tun M.

Kita yang sentiasa mengikuti perkembangan dari dekat boleh menerima kemungkinan Tun M mahukan wakil-wakil rakyat tersebut semata-mata kerana ingin memperkukuh dan memperkasakan Bersatu tanpa apa-apa agenda untuk melemah atau menyekat kemaraan Anwar sebagai PM yang menggantikan beliau.

Reaksi pemimpin politik dan gerakan sivil

Reaksi daripada pemimpin parti-parti politik dan gerakan sivil tentang perkembangan mutakhir ini berbeza-beza dari satu pihak kepada satu pihak yang lain.

Tun M dan Bersatu mengalu-ngalukan perkembangan ini dan memberi isyarat bersedia untuk menerima 'pemimpin-pemimpin yang baik' ke dalam Bersatu. Anwar pula menasihati mereka agar jangan menyeberang ke mana-mana parti lain tapi kekal menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong kerajaan PH.

Lim Kit Siang tidak begitu gembira dengan perkembangan ini. Malah Pengerusi DAP, Tan Kok Wai dan pemimpin-pemimpin kanan DAP seperti Ronnie Liu dan Gobind Singh menyelar wakil-wakil rakyat yang lompat parti dan mana-mana parti komponen PH yang berhasrat untuk membuka pintu kepada mereka. Mereka memberi peringatan bahawa PH bukan  'tong sampah' untuk mengutip pemimpin-pemimpin yang satu masa dulu dianggap oleh Tun M sebagai sampah. Mat Sabu dan Amanah hanya menyatakan keputusan yang dibuat oleh bekas pemimpin-pemimpin Umno tersebut sebagai sesuatu yang wajar  

Nurul Izzah, Maria Chin dan Bersih pula mengambil pendirian bahawa tindak-tanduk bekas pemimpin-pemimpin Umno tersebut sebagai sesuatu yang tak bermoral dan berprinsip.

Melalui satu kenyataan susulan, Bersatu telah memberi jaminan kepada parti-parti komponen bahawa mereka akan mengambil kira pandangan mereka dan akan akur dengan keputusan majoriti.

Tafsiran dan tanggapan rakyat

Rakyat nampak cemas, gelisah dan bimbang dengan perkembangan mutakhir ini. Mereka telah diajar, diasuh dan dilatih sekian lamanya untuk melihat Umno dan pemimpin-pemimpin mereka sebagai musuh dan seteru jahat yang perlu dilawan habis-habisan. Ramai diantara pemimpin-pemimpin tersebut dianggap oleh rakyat sebagai penyangak dan petualang besar dalam era kerajaan  klepto Najib Razak. Tiba-tiba sekarang rakyat disuruh untuk memaaf dan menerima mereka sebagai rakan seperjuangan mereka. Apakah ia sebegitu mudah dan senang untuk rakyat jelata melakukannya? Ibarat semudah dan sesenangnya untuk menutup dan membuka suis lampu letrik!

Rakyat mungkin boleh memahami bahawa dinamika politik adalah sesuatu yang tidak statik, bahawa ianya boleh berubah-rubah mengikut keperluan dan keadaan semasa. Mereka sedia maklum bahawa dalam kancah politik, wujudnya hakikat bahawa "there are no permanent friends or enemies, only permanent interests". Bersatu mungkin memerlukan wakil-wakil rakyat Umno untuk memperkukuh dan memperkasakan parti mereka.

Namun, bolehkan rakyat menerima permainan dan percaturan politik sedemikian? Dalam konteks pergolakan politik hari ini, adalah terlalu awal untuk Bersatu mengharapkan rakyat berlembut hati dengan Umno atau bekas pemimpin-pemimpin mereka. Rakyat berhak untuk merasa bimbang tentang kemungkinan pemimpin-pemimpin tersebut akan membawa masuk racun dan politik tosik mereka ke dalam tubuh badan PH, sekali gus merosak dan menghancurkan keluhuran wadah perjuangan yang telah mereka berhempas pulas berjuang untuk mewujudkannya.

Jika Bersatu terlalu mendesak dalam hal ini, rakyat jelata mungkin akan memberontak dan bangkit melawan Bersatu dan PH. Ianya akan dianggap sebagai satu perbuatan yang mengkhianati perjuangan rakyat dan menodai kepercayaan mereka kepada Bersatu dan PH.

PH perlu ingat tentang kekuatan suara keramat rakyat yang telah mengangkat mereka ke tampok pemerintahan. Rakyat yang memilih, rakyat yang mengangkat mereka, maka rakyat juga mampu menjatuh dan merobohkan PH.

Perlu diingati bahawa kesetian rakyat adalah kesetiaan yang bersyarat. Rakyat boleh setia kepada pemimpin yang adil dan peka dengan citarasa serta aspirasi mereka. Segala gerak kerja dan tindak-tanduk politik perlulah untuk kebajikan dan masa depan mereka, bukan untuk memberi keselesaan kepada pemimpin dan golongan elit. Politik oportunis dan Machiavillean seperti itu sudah tidak sesuai lagi dengan naratif baru dalam dunia Malaysia Baharu.

Langkah yang wajar dan perkembangan terkini

Melihat kepada realiti dan keadaan semasa, maka adalah dikira tidak wajar untuk Bersatu atau PH menerima bekas prmimpin-pemimpin Umno ke dalam mana-mana parti komponen PH. Sekurang-kurangnya ia tidak munasabah dan pragmaik dalam dan untuk masa yang terdekat ini. Adalah lebih wajar untuk membiarkan saja wakil-wakil rakyat tersebut terus kekal sebagai ahli bebas  untuk satu jangka masa yang lebih panjang.

Mungkin selepas mereka telah dan sudah melalui tempoh eddah tertentu, satu penilaian semula boleh dibuat ke atas mereka dan kesesuaian mereka untuk bersama dalam gagasan PH. Rakyat juga perlu diberi masa yang cukup untuk menilai setakat mana mereka telah berubah, peka dan akur dengan prinsip perjuangan PH. Seperti kata Lim Kit Siang mereka perlu betul-betul bertaubat dahulu sebelun rakyat dapat memaafkan mereka.

Saya mengakhiri rencana ini dengan membawa berita  terkini dan sungguh mengembirakan. Semalam TV danakhbar telah memaparkan kenyataan Tun M bahawa PH tidak akan menerima wakil rakyat yang lompat parti. Alhamdullillah, kerana sekali lagi Tun M telah menunjukkan kesediaannya untuk mengambil kira  pandangan parti-parti komponen serta akur dengan hasrat dan aspirasi rakyat.

Sekaligus memberi keyakinan kepada rakyat jelata bahawa kepimpinan Tun M dan kerajaan PH adalah dari rakyat, kerana rakyat dan untuk rakyat.

Syukur alhamdullillah.