PENDIDIKAN dan Latihan Teknik dan Vokasional (TVET) adalah sebuah topik yang sedang hangat diperbincangkan dewasa ini. Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) juga telah memberi tumpuan yang khusus kepada pembangunan TVET yang berkualiti di negara ini.

Pelbagai inisiatif dan program yang berteraskan TVET telah dilaksanakan oleh kerajaan bagi memartabatkan kemahiran teknikal dan vokasional dalam kalangan rakyat tempatan.

Pembangunan modal insan berkemahiran tinggi amat penting bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia antara 20 negara termaju di dunia. Realitinya, peluang Malaysia untuk menjadi salah sebuah negara termaju kini semakin cerah.

Antara bukti yang amat membanggakan adalah Malaysia kini memiliki lebih 80 peratus vendor tempatan yang berkemahiran menghasilkan komponen kenderaan bagi industri automobil. Peratusan itu amat tinggi jika dibandingkan dengan Vietnam yang hanya memiliki 20 peratus vendor tempatan yang menghasilkan komponen kenderaan di negara mereka.

Pada tahun ini, sekali lagi Malaysia telah mencatat peningkatan satu anak tangga kedudukan ke-25 dalam kalangan 140 negara dalam senarai Laporan Daya Saing Global (GCR) 2018 Forum Ekonomi Dunia (WEF).

Berdasarkan laporan yang diterbitkan pada Oktober lalu itu juga, Malaysia adalah antara tiga negara dari ekonomi bukan berpendapatan tinggi yang berada di kedudukan 40 teratas, diikuti oleh China di kedudukan ke-28 dan Thailand di kedudukan ke-38.

Usaha Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi telah menyaksikan reformasi dalam corak ekonomi tanah air. Kegiatan ekonomi kini bukan sahaja tertumpu di pusat bandar, malah tersebar luas di seluruh negara.

Sejajar dengan kemajuan ini, permintaan dan kehendak industri terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi juga semakin meningkat mengikut perkembangan semasa.

Bukan itu sahaja, bahkan modal insan yang berpengetahuan dan mahir mengendalikan teknologi moden juga amat diperlukan bagi menangani cabaran baharu merentasi Revolusi Industri 4.0.

Suntikan dana daripada kerajaan dan sektor swasta menjadi pemangkin untuk memacu TVET negara, sekaligus menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju, progresif dan inklusif dari segi ekonomi.

Malaysia telah menyasarkan pencapaian sebanyak 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi dilahirkan menjelang 2020, diikuti dengan pencapaian 100 peratus menjelang 2050.

Bagi menyempurnakan matlamat ke arah mencapai status negara maju, kerjasama erat serta komitmen di antara pihak berkepentingan amat diperlukan.

Kini terdapat kira-kira 1,300 buah institusi TVET berstatus kerajaan dan swasta yang menawarkan program latihan kemahiran yang komprehensif, selari dengan keperluan industri semasa.

Skills Johor adalah salah sebuah institusi yang bergiat aktif menjalankan program khusus untuk pembangunan TVET negara. Skills Johor turut berkongsi hasrat yang sama untuk meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran dalam kalangan rakyat Malaysia.

Aspek penting yang menjadi tulang belakang kepada Skills Johor adalah jaringan industri yang kukuh dalam menyediakan peluang penempatan kerjaya terutamanya kepada para graduan, pekerja yang diberhentikan perkhidmatan mahupun individu yang ingin menceburi bidang baharu dalam kerjaya mereka.

Skills Johor bekerjasama dengan industri untuk merapatkan jurang kemahiran yang diperlukan oleh industri mengikut peredaran masa. Hab Skills Johor yang sedang dibina di Kota Tinggi dijangka siap menjelang 2020.

Hab tersebut adalah salah satu daripada inisiatif utama Kerajaan Negeri Johor untuk terus memacu pembangunan TVET secara holistik.

Walau bagaimanapun, sokongan dan penglibatan daripada pelbagai kumpulan sasar adalah penting bagi memastikan agenda pembangunan modal insan terlatih di negara ini terus mekar.

Skills Johor terus akan memperkasakan pembangunan modal insan terlatih yang bukan sahaja bagi industri tempatan, bahkan bagi pembangunan ekonomi rantau ini.

* Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif Skills Johor