MINGGU lalu penulis ada menulis satu rencana berkaitan dengan ICERD. Antara beberapa penyataan yang dibuat penulis adalah seperti berikut:

i) Negara berdepan desakan daripada luar dan dalam negara untuk meratifikasikan ICERD.

ii) Wujudnya sokongan dan tentangan daripada pelbagai pihak terhadap ICERD

iii) Syariat Islam melarang politik perkauman. Keadilan perlu diberi sama rata kepada orang Islam dan bukan Islam.

iv) Negara boleh meratifikasi ICERD dengan menerima peruntukannya secara total atau tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan, khususnya yang berkaitan dengan hak istimewa orang Melayu, kedudukan agama Islam dan institusi Raja-Raja.

(v) Apapun yang diratifikasikan, hakikatnya ialah Perlembagaan masih kekal sebagai undang tubuh negara.

Selagi ianya tidak dipinda, maka peruntukannya tetap mengatasi mana-mana dokumen lain termasuk ICERD.

(vi) Orang bukan Melayu diminta lebih berhati-hati bila membicarakan ICERD kerana ianya adalah isu sensitif yang boleh mencetus krisis antara kaum.  Sebaik-baiknya biarlah orang Melayu yang mengepalai wacana berkaitan dengannya.

(vii) Isu ICERD amat sensitif dan perlu ditangani dengan penuh cermat oleh semua pihak.

Penulis beranggapan bahawa isu tersebut akan reda selepas pihak-pihak berkenaan diberi ruang dan peluang yang cukup untuk memberi pandangan masing-masing.

Langkah yang selanjutnya ialah menyerahkan kepada kerajaan untuk membuat keputusan dengan mengambil kira pandangan dan maklum balas daripada pihak-pihak yang berkenaan.

Namun hakikatnya isu ini menjadi lebih panas dan reaksi mula melimpah ke jalan raya melalui demonstrasi dan bantahan daripada pihak-pihak yang menentangnya. Pihak-pihak yang kelu membisu dalam hal rasuah dan skandal sebelum ini tiba-tiba menjadi lantang dan vokal dalam isu ICERD.

Pemimpin-pemimpin Melayu tertentu juga mula emosional. Ada pemimpin parti tertentu pula menyebut 'wajib' untuk orang Islam menentang dan menolak ICERD.

Apakah negara-negara Islam yang menerima-pakai ICERD seperti Arab Saudi, Arab Mesir, Turkey, Iran, Indonesia, Yemen dan lain-lain negara Islam yang menerima ICERD menjadi kurang Islamik? Setahu penulis negara Islam yang masih tidak meratifikasikan ICERD hanyalah Malaysia dan Brunei.

Pendekatan yang sewajarnya

Ramai orang Melayu, termasuk cerdik pandai yang melihat ICERD daripada perspekstif dan lensa bangsa dan kaum. Maka kita tidak hairan jika mereka merasa begitu teruja dan tercabar dengan naratif dan pergolakan yang sedang berlaku sekarang.

Tambah lagi bila ianya dipolitikkan sebagai satu usaha dan agenda jahat serta halus oleh orang bukan Melayu untuk menghapuskan hak istimewa orang Melayu.

Penjelasan dan pencerahan oleh golongan cendekiawan bahawa ICERD boleh diratifikasikan tanpa menjejaskan hak istimewa orang Melayu sepertimana  yang diperuntukkan dalam Perlembagaan tidak diterima oleh mereka.

Ironinya, apabila Islam juga ikut digunakan sebagai asas dan alasan untuk menentang ICERD. Seolah-olah intipati dan natijahnya bertentangan dengan syariat Islam. Dalam rencana terdahulu penulis ada menyebut nas-nas dan dalil-dalil dari al-Quran serta hadis yang digunakan oleh Mufti Perlis, Dr Maza  berhubung pendirian Islam tentang politik perkauman, termasuk Surah al-Hujurat: Ayat 13 dan Khutbah Wida Nabi Muhamad.

Di sini penulis ingin membuat tambahan dengan menyebut firman ALLAH SWT yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan kebenaran kerana ALLAH, lagi menjadi saksi dengan adil dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa juga) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan."  (Surah al-Ma'idah: Ayat 8)

Dr Siddiq Fadhil juga ada menyebut dalam artikelnya bahawa: "Yang dituntut daripada orang Islam adalah sikap istiqamah dengan agamanya sendiri, di samping memberikan layanan adil terhadap orang lain yang tidak seagama. Urusan kita adalah menentang kezaliman, tanpa mengira siapa pelakunya, termasuk kezaliman yang dilakukan oleh orang Islam terhadap bukan Islam."

Mustafa Akyol, ilmuan agama berbangsa Turki berkata bahawa orang Islam yang menentang ICERD wajar mempelajari polisi yang dianuti dan pendekatan yang diambil oleh tamadun Islam di zaman silam termasuklah kerajaan Uthmaniyah dalam perihal keadilan sejagat.

Sheikh Yusuf al-Qaradawi pula menghuraikan tentang fiqah kerakyatan  di mana orang Islam dan bukan Islam mempunyai hak sivil dan politik yang sama rata.

Apa yang harus kita lakukan?

i) Orang Melayu:

Orang Melayu sewajarnya lebih akur dan peka dengan syariat, prinsip dan hukum-hakam agama Islam. Jika wujud pergeseren atau pertentangan di antara syariat Islam dan budaya serta pemikiran Melayu, maka Melayu berkewajiban untuk memilih syariat Islam.

Orang Melayu perlu bertenang dengan mengambil kira pendirian Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa ICERD tidak mungkin diratifikasikan buat masa ini. Tun M menyebut kesukaran untuk membuat pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan untuk diseragamkan dengan ICERD.

Mengambil kira keadaan yang wujud hari ini, kerajaan telah memberi isyarat yang jelas bahawa ICERD tidak mungkin diratifikasikan buat masa ini. Rakyat perlu memberi ruang kepada kerajaan untuk memuktamadkan keputusan berhubung ICERD.

Oleh yang demikian rakyat dan khususnya orang Melayu tidak seharusnya menjadi emosional dengan berdemonstrasi di jalan raya. Hakikatnya kerajaan peka dan akur dengan sentimen rakyat.

ii) Orang bukan Melayu:

Orang bukan Melayu perlu berhemah dan cermat dalam membicara ICERD dan isu-isu yang menyentuh kedudukan orang Melayu, agama Islam dan institusi Raja-Raja.

Mereka jangan dilihat sebagai mencabar atau terlalu mendesak orang Melayu dalam hal-hal tersebut dan berkaitan. Biar wacana dan proses perubahan serta transformasi berkaitan dengannya digerak dan dikepalai oleh kepemimpinan Melayu.

Mereka perlu yakin bahawa makin ramai pemimpin Melayu, khususnya dalam gagasan PH yang mahu membina naratif baru yang berpaksikan kepada prinsip keadilan sejagat. Bukan kerana wujudnya tekanan atau desakan dari luar atau dalam tetapi kerana komitmen dan keikhlasan mereka untuk menegakkan keadilan.

iii) Tanggung jawab kerajaan:

Kerajaan perlu memikul tanggung jawab untuk menyelesaikan polemik dan kemelut ICERD serta isu-isu yang berkaitan dengan secara baik dan penuh bijaksana.

Kerajaan perlu  mengambil kira pandangan pelbagai pihak dan membuat keputusan yang sewajarnya. Keputusan yang sewajarnya bukan bererti ianya semata-mata berpaksikan kepada prinsip tetapi juga mengambil kira hakikat dan realiti semasa.

Mengikut hemat penulis, walaupun perhitungan mengikut neraca agama Islam dan juga nilai-nilai sejagat menjurus kepada penerimaan ICERD, namun realiti semasa ialah orang Melayu belum bersedia untuk menerima ICERD.

Pastinya kita tidak mahu perjuangan menegak keadilan sosial mengundang masalah lain lebih besar kepada negara. Kita ambil iktibar daripada usaha untuk melaksanakan hukum hudud. Selain masalah untuk mencapai konsensus tentangnya, ramai cendekiawan Islam mengambil pendirian bahawa keadaan semasa dalam negara belum sesuai untuk hudud dilaksanakan.

Kita juga boleh mengambil iktibar dengan cara berperingkat Tuhan menurunkan wahyu tentang arak, riba, jumlah isteri yang boleh lelaki mengahwini serta syarat-syaratnya. Ianya diturunkan secara berperingkat untuk memberi masa kepada umat untuk memahami dan menerima perubahan dalam kehidupan mereka.

Akhir kata, seluruh rakyat Malaysia wajar mengambil peringatan daripada ayat 13 Surah al-Hujurat agar gejala buruk seperti yang berlaku pada 13 Mei 1969 tidak berulang lagi.           

***Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Sinar Harian.