KEBELAKANGAN ini, kes homoseksual sudah menjadi norma dalam masyarakat kita. Maka tidak hairanlah apabila kita digemparkan dengan berita guru tahfiz meliwat pelajarnya. Kisah seperti ini pernah terjadi pada kaum Nabi Luth iaitu penduduk kota Sadum (Palestin).

Kaum Nabi Luth adalah kaum yang pertama melakukan jenayah homoseksual ini. Lalu, ALLAH telah mengutuskan Nabi Luth untuk berdakwah kepada kaumnya. Beliau mengajak mereka untuk menyembah hanya kepada ALLAH SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya. Namun, kaum Nabi Luth tidak mengendahkan akan nasihat Nabi Luth itu.

Setelah berulang kali diperingatkan dan ternyata usaha tersebut sia-sia. Nabi Luth berdoa kepada ALLAH SWT agar menolongnya.

Lalu ALLAH memakbulkan doa Nabi Luth dengan mengutuskan malaikat untuk menimpakan azab kepada kaum Nabi Luth yang angkuh itu.

Sebelum kota Sadum itu dimusnahkan, telah datang beberapa malaikat yang menyerupai lelaki tampan ke rumah Nabi Luth. Setelah hal itu diketahui oleh kaum Nabi Luth lalu mereka pergi ke rumah Nabi Luth. Mereka mahu Nabi Luth untuk menyerahkan tetamu itu kepada mereka sebagai pemuas nafsu.

Nabi Luth berasa sangat marah dengan perbuatan mereka dan menasihatkan mereka agar tidak berbuat demikian. Akan tetapi, kaumnya tertawa terbahak-bahak mendengar nasihat daripada Nabi Luth itu. Kata-kata Nabi Luth yang suci itu tidak mampu mengubah pendirian jiwa yang sakit dan hati yang beku.

Pada akhirnya kota Sadum telah dibinasakan dengan dahsyatnya berserta seluruh penduduknya. Sebelum itu, Nabi Luth dan para pengikutnya telah berpindah ke daerah lain dengan perlindungan ALLAH SWT. Begitulah kisah ringkas daripada kaum Nabi Luth yang sombong.

Dalam al-Quran dengan jelas ALLAH melarang hubungan sesama jenis atau homoseksual ini yang mana ia adalah perbuatan yang keji. Daripada firman ALLAH SWT yang bermaksud: "Dan (Kami juga telah mengutus) Luth (kepada kaumnya). (Ingatlah) tatkala dia berkata kepada mereka: “Mengapa kamu mengerjakan perbuatan faahisyah itu, yang belum pernah dikerjakan oleh seorang pun (di dunia ini) sebelummu?”. Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk melepaskan nafsumu (kepada mereka), bukan kepada wanita, malah kamu ini adalah kaum yang melampaui batas. (Surah Al-‘Araf: 80-81)

Dalam Islam juga ada dinyatakan hukuman bagi orang yang melakukan liwat. Seperti hadis nabi dalam kitab Abi Daud, Ibnu Majah dan Tirmizi yang bermaksud: "Sesiapa yang kamu dapati melakukan jenayah kaum Nabi Luth hendaklah kamu bunuh orang yang meliwat dan orang yang diliwat."

Hukum liwat secara ijmak dan sepakat ulama ialah termasuk dalam dosa besar. Menurut pendapat fuqaha’ mazhab as-Syafi’e, dalam kitab Fiqh al-Manhaj menyebut: “Liwat adalah persetubuhan pada dubur baik yang disetubuhi itu lelaki mahupun perempuan. Menurut pendapat yang sahih, hukum perbuatan ini ialah hukum zina bagi pelaku sekiranya wujud bukti dan pengakuan. Sekiranya pelaku seorang muhsan (sudah berkahwin), dia akan direjam sehingga mati. Manakala, sekiranya pelaku bukan muhsan (belum berkahwin), dia akan disebat sebanyak 100 kali sebatan dan dibuang negeri selama setahun."

Seharusnya kita sebagai umat Islam mengambil ibrah daripada kisah kaum Sadum yang ingkar terhadap perintah ALLAH yang melarang perbuatan homoseksual. Akibatnya mereka ditimpa dengan azab yang dahsyat sehingga memusnahkan keseluruhan penduduk yang melakukan kemungkaran.

Perbuatan homoseksual yang masih berlaku sehingga ke hari ini amat membimbangkan kerana ramai umat Islam terlibat dengan perbuatan tidak bermoral ini. Justeru, semua pihak seharusnya memainkan peranan dalam menangani masalah ini supaya perbuatan homoseksual ini dapat dielakkan daripada terus berleluasa.

Antara langkah yang boleh diambil bagi mengatasi masalah homoseksual ini adalah dengan menjaga batas pergaulan, menutup segala pornografi dari gajet, mengadakan seminar atau kempen tentang bahayanya hubungan sejenis, menerapkan ilmu agama dari kecil serta menguatkuasakan undang-undang. Diharapnya masalah homoseksual ini dapat dihentikan dengan segera supaya ia tidak memberi kesan buruk kepada generasi akan datang.

* Nurul Anis Izzati, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai, Negeri Sembilan