SEMENJAK PH mengambil alih tampuk pemerintahan negara enam bulan yang lepas, keadaan politik tanah air terus bergelora akibat dilambung pelbagai cabaran semasa.

Kita tidak hairan dengan keadaan ini kerana masih dalam proses peralihan kuasa. Kita sedang melalui  penghijrahan dari era pemerintahan lama kepada era Malaysia Baharu dengan naratif serta pendekatan yang lebih dinamik, lagi progresif.

Kerajaan PH sedang berusaha membentuk satu sistem pentadbiran yang lebih telus, bersih dan prihatin dengan suara rakyat. Ini selaras dengan manifesto perubahan dan transformasi yang dicanang semasa PRU14 dulu.

Apa yang telah dan sedang berlaku

Kerajaan PH mengambil pendekatan yang lebih liberal dalam hal-hal yang menyentuh kehidupan harian rakyat termasuk menangani hak asasi seperti kebebasan bersuara dan berpolitik.

Kita dapat lihat di media massa, rakyat semakin lantang bersuara dan semakin berani bertindak menyatakan pendirian politik mereka.

Rakyat berdebat dan berbicara dengan lantang pelbagai isu yang dihadapi negara. Berbagai kritikan, kutukan dan cabaran telah dilemparkan ke atas Tun Dr Mahathir Mohamad, Kabinet dan Kerajaan PH.

Namun kerajaan hanya membiarkan sahaja tanpa mengambil apa-apa tindakan.

Sikap ini mungkin telah mendorong pembangkang menjadi lebih berani dan lantang dalam pendekatan politik mereka.

Kerajaan PH seolah-olah masih mencari-mencari jalan yang terbaik untuk mengurus dan mentadbir negara dan kekadang nampak teragak-agak dalam mengambil satu-satu keputusan.

Ramai yang mula  mempertikai kesanggupan kerajaan untuk bertindak dengan tegas dan berani dalam menegak dan mempertahankan keluhuran undang-undang serta mengawal ketenteraman awam.

Perkembangan paling mutakhir ialah berhubung hasrat pembangkang terutama Pas dan Umno untuk berhimpun membantah ICERD, 8 Disember ini.

Malah perarakan-perarakan permulaan telahpun dilangsungkan pada Jumaat  lepas di seluruh negara.  Apabila melihat kerajaan dan penguatkuasa membiarkan sahaja perarakan-perarakan tersebut, penganjur Perhimpunan 8 Disember menjadi lebih berani, lantang dan ghairah sehingga Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengisytiharkan bahawa perarakan tersebut mampu menghimpun sejuta rakyat.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengeluarkan kenyataan bahawa ICERD adalah agenda Freemason untuk menghancurkan negara. Ini kali pertama penulis mendengar dakwaan sedemikian.  Beliau juga menyelar beberapa individu beragama Islam di negara ini yang secara terang-terangan menyokong ICERD.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula dilaporkan telah menyebut bahawa dalam kamus Inggeris, perkataan ‘amuk’ adalah dipinjam daripada Bahasa Melayu yang menunjukkan bahawa "orang Melayu boleh mengamuk jika hak mereka dicabar."

Apa ertinya semua ini kepada rakyat dan negara?

Kita tahu bahawa menjadi sifat dan fitrah manusia mahukan kebebasan untuk melakukan apa sahaja yang mereka fikirkan wajar. Tetapi kita juga tahu daripada sejarah tamadun dan ajaran agama bahawa kebebasan perlu ada batasan untuk menjamin kesejahteraan ummah, masyarakat dan negara.

Dalam isu ICERD, kita akui rakyat dan pembangkang perlu diberi ruang untuk menyatakan pendirian mereka. Persoalan yang timbul sekarang ialah apakah Perhimpunan 8 Disember masih perlu diadakan?

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, berikutan keputusan kerajaan untuk tidak meratifikasi ICERD, maka sebarang perhimpunan untuk membantah wajar dihentikan.

Apa lagi yang perlu dibantah jika pihak kerajaan juga telah membuat keputusan dan pendirian yang sama dengan  pembangkang?

Alasan penganjur untuk menukar matlamat perhimpunan kepada perarakan kesyukuran atau mengucap terima kasih kepada  kerajaan sepertimana yang disebut oleh Abdul Hadi juga sangat tidak munasabah.

Rakyat akan lebih menghargai jika Abdul Hadi merakamkan sahaja ucapan terima kasih tersebut melalui kenyataan di media massa.

Bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dengan penuh rasionalnya telah berkata, memandangkan kerajaan telah membatalkan cadangan untuk meratifikasi ICERD, maka adalah wajar untuk pembangkang tidak meneruskan Perhimpunan 8 Disember demi untuk menyejukkan 'suhu politik negara'.

Pertubuhan Islam, IKRAM juga membuat pendirian yang sama seperti  KJ. Pensyarah UKM, Datuk Dr Muhammad Agos Yusoff pula berkata, Umno-Pas tidak perlu mencetuskan keharmonian kaum dalam keadaan kerajaan sudah memutuskan untuk tidak meratifikasikan ICERD.

Beliau menasihati Umno-Pas agar tidak memanaskan lagi suhu politik negara dengan ucapan seperti sanggup 'bermandi darah' dan lain-lain provokosi yang memberikan implikasi negatif kepada negara.

Masih mahu teruskan perhimpunan

Jika  penganjur masih mahu meneruskan Perhimpunan 8 Disember -  yang mana kita merasakan ianya adalah tidak wajar dan tidak perlu - maka mereka berkewajipan untuk mematuhi undang-undang dan perlu sanggup memikul tanggungjawab terhadap segala kemungkinan yang berlaku.

Jangan nanti perhimpunan itu mencetuskan rusuhan atau apa-apa insiden yang mengancam ketenteram awam. Jangan pula pihak polis atau kerajaan yang dipersalahkan nanti. Berani buat berani tanggung!

Sebenarnya orang ramai tidak kisah jika penganjur atau parti pembangkang mahu mendabik dada mendakwa mereka telah berjaya untuk memaksa pihak kerajaan menolak ICERD.

Malah kita boleh  memperakui dan mengalu-alukan peranan dan sumbangan penganjur dan parti pembangkang dalam usaha mencari penyelesaian kepada isu ICERD setakat mana ditangani mengikut batasan-batasan amalan demokrasi serta undang-undang negara.

Namun janganlah terlalu berlebihan sehingga isu ICERD dijadikan modal politik untuk membangkitkan politik perkauman yang merosakkan keharmonian rakyat. Kita tidak mahu kekecohan yang berlaku  di Kuil Sri Mariamman USJ berulang pula di Perhimpunan 8 Disember yang mungkin akan membawa implikasi dan akibat yang lebih serius lagi.

Keamanan negara tanggungjawab kita bersama

Jika kita menghalusi asal usul penganjuran Perhimpunan 8 Disember, kita akan dapati ianya adalah agenda kumpulan Melayu tertentu, khususnya Melayu Umno dan Pas untuk meraih sokongan rakyat.

Mereka cuba mencari jalan untuk mengasak Kerajaan PH. Mereka menggunakan taktik lama untuk mendapat sokongan, iaitu dengan membangkitkan isu agama, bangsa dan institusi raja-raja.

Tambah lagi ada pemimpin-pemimpin agama yang bersedia untuk membakar semangat penyokong mereka dengan ayat-ayat al Quran atau hadis. Apatah lagi jika fatwa-fatwa berkenaan datangnya daripada tok guru-tok guru yang mendakwa 'bertemu dengan Nabi Muhammad dalam mimpi'.

Melayu dikatakan mudah untuk mempercayai orang yang mereka nampak alim dan warak. Mereka juga amat senang diputar-belitkan oleh pemimpin politik. Maka tidak hairanlah mengapa Melayu sering dikaitkan dengan sindrom Mat Jenin, Si Luncai dan budaya Mat Rempit. Jika politik songsang yang berteraskan perkauman diteruskan, Melayu mungkin akan dikenali sebagai 'Mat Rasis'.

Di alaf baru dalam Malaysia Baharu di mana dunia lebih terbuka dan mencabar, Melayu perlu membuat pilihan yang bijak. Pilihan yang wajar ialah untuk kita menjadi Melayu yang berdaya maju.

Melayu Baharu yang yakin dengan kekentalan dan jati diri mereka. Yang suka membaca, berfikir dan menimba ilmu. Yang memahami agama, prinsip dan natijahnya. Yang mampu berdikari dan bersaing dengan sesiapa saja.

In sha ALLAH dengan cara itu, Melayu akan kekal sebagai bangsa yang berjaya untuk terus maju ke depan atau sekurang-kurangnya setanding dengan bangsa-bangsa lain yang maju.

***Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Sinar Harian