TIDAK ada satu jangka masa tertentu yang boleh dikatakan bebas risiko untuk dihadkan sekiranya seseorang terdedah kepada asap rokok sekunder. (Orang yang terdedah kepada asap rokok sama ada sekejap atau lama dipanggil perokok pasif atau perokok sekunder).

Malah kesan asap rokok sekunder ini boleh menyebabkan perubahan terhadap darah, pembuluh darah atau salur pernafasan ini berlaku dengan serta-merta.

Dengan segala risiko yang ada pada asap rokok sekunder ini kepada orang ramai, terutamanya kepada kanak-kanak, dan dewasa yang bukan perokok, maka amat wajarlah ia menjadi satu isu yang perlu dilihat secara serius dan dikawal dengan undang-undang.

Larangan merokok di restoran terbuka dan gerai makan merupakan satu lagi usaha Kementerian Kesihatan untuk membanyakkan lagi tempat awam agar bebas asap rokok bagi melindungi dan memelihara kesihatan majoriti rakyat Malaysia yang bukan perokok.

Sebelum ini Kementerian Kesihatan telah mewartakan banyak kawasan awam sebagai kawasan larangan merokok melalui Peraturan 11 dan 22, Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 seperti di hospital, klinik, sekolah, kapal terbang, lif dan bangunan-bangunan kerajaan.

Peraturan dan pewartaan kawasan-kawasan larangan merokok ini pula selaras dengan prinsip utama Artikel Lapan Pertubuhan Kesihatan Sedunia dalam Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau, iaitu semua tempat awam adalah kawasan tidak merokok.

Malaysia masih belum lagi mencapai tahap agar larangan merokok boleh dikuatkuasakan secara menyeluruh. Ia memerlukan kematangan masyarakat secara umum dan kesediaan kerajaan untuk menguatkuasakan serta berhadapan dengan kesan-kesan sampingan yang berkait rapat dengan ekonomi negara.

Jadi para perokok masih lagi bebas untuk merokok di kawasan-kawasan peribadi dan kawasan yang tidak diwartakan sebagai kawasan larangan merokok. Mereka bebas untuk melakukan aktiviti yang sememangnya memberi risiko yang tinggi kepada kesihatan mereka sendiri.

Tetapi itu tidak bermakna mereka berhak untuk merokok dalam keadaan yang boleh memberi bahaya kepada orang di sekeliling yang majoritinya bukan perokok. Malah boleh dikatakan bagi ibu bapa yang merokok berdekatan dengan anak-anak mereka sama ada di rumah sendiri mahupun tempat umum, mereka telah menafikan hak anak-anak untuk menghirup udara yang segar dan bebas daripada segala bahan kimia yang berbahaya.

Kepada mereka yang waras di luar sana, hak siapa sebenarnya yang lebih utama untuk kita perjuangkan?

Pendek kata, berdasarkan hujah-hujah kesihatan dan kepentingan umum, tidak ada alasan untuk kita membiarkan budaya merokok terus membarah dalam masyarakat kita dan membiarkan kesan-kesan buruk itu menjadi beban kepada masyarakat yang berhak untuk hidup sihat dengan udara yang segar di mana-mana tempat umum dan terbuka.

Kepada para perokok, kita menghormati pilihan yang telah dipilih, dan kita sentiasa menasihati agar tabiat rokok itu dapat dihentikan dalam apa acara sekali pun. Kita juga menasihati agar sentiasa menghormati juga orang-orang lain yang tidak merokok dan berhak untuk tidak menghidu asap rokok kalian.

Kepada orang ramai, kita mengharapkan agar sentiasa mengambil tahu berkenaan kesihatan terutama kesihatan diri dan ahli keluarga dan nyatakan bantahan anda terhadap perokok-perokok yang jelas-jelas tidak menghormati orang lain.

* Dr Ahmad Muslim Roslan I-Medik Kuala Lumpur