KEMENTERIAN Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) telah pun melancarkan pelan hala tuju sifar penggunaan plastik pakai buang 2018-2030 pada 17 Oktober lalu.

Ia antara lain bertujuan menangani masalah pencemaran sisa plastik, meningkatkan kesedaran orang awam, selain mencari alternatif kepada penggunaan pelbagai produk plastik.

Pencemaran plastik sebenarnya bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah di seluruh dunia, yang mana ia turut menjejaskan hidupan laut. Dengan pelan itu, kerajaan berharap dapat tingkatkan kesedaran melalui program yang dilaksanakan oleh kerajaan, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Di Selangor, malah di seluruh negara, larangan penggunaan beg plastik dijadualkan untuk dikuatkuasakan sepenuhnya, menjelang 2030. Proses pengharaman itu akan dilaksanakan secara berperingkat dengan kerjasama semua pihak berkuasa tempatan.

Malaysia tidak bersendirian dalam tindakan mengharamkan penggunaan beg plastik. Kesatuan Eropah akan haramkannya dalam tempoh tiga tahun dan New Zealand enam bulan.

Mereka memulakan awal atas kesedaran ia akan melibatkan masalah kesihatan, kawasan pembuangan dan pembersihan.

Bangladesh, China, Israel, Afrika Selatan, Belanda, Maghribi, Kenya, Mauritania, Sri Lanka, Papua New Guinea, Vanuatu, Albania and Georgia sudah membuat keputusan sama sebelum itu.

Bangladesh merupakan negara pertama menguatkuasakannya pada 2002.

Kenya melakukannya lima tahun kemudian, namun undang-undangnya lebih keras iaitu melibatkan hukuman penjara dan denda berat.

Bagi Malaysia, mulai tahun depan, semua negeri boleh memutuskan pelaksanaan caj minimum 20 sen untuk setiap beg plastik hingga 2021.

Beberapa pihak berpendapat mengharamkan penggunaan beg plastik hanya pada tahun 2030 adalah satu tempoh yang terlalu lama. Kerajaan mungkin perlu mengkaji semula perkara itu supaya ia dapat dikuatkuasakan lebih awal.

Ada yang mencadangkan, barangkali lebih baik pihak berkuasa mengenakan caj 50 sen setiap beg plastik mulai tahun depan.

Cadangan ini berdasarkan hakikat bahawa di negara yang mengenakan caj tinggi untuk beg plastik, usaha untuk mengurangkan penggunaannya lebih berkesan.

Baru-baru ini, terdapat laporan media berhubung masalah sisa plastik kitar semula dari serata dunia di Kuala Langat, terutama di Telok Panglima Garang, Selangor. Akibatnya, penduduk di kawasan terbabit mengadu berdepan risiko pelbagai jenis penyakit, termasuk barah.

Susulan itu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mengeluarkan kenyataan kerajaan negeri tidak pernah meluluskan operasi pemprosesan semula sisa plastik dan tugas itu di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan. Malah, beliau menegaskan kerajaan negeri komited mahu menutup kilang plastik haram di Selangor.

Berdasarkan penyelidikan di Korea Selatan dan Greenpeach East Asia, 90 peratus daripada garam laut yang kita ambil mengandungi mikroplastik. China, antara negara yang berhadapan masalah sisa plastik, telah menggubal polisi, mengharamkan import sisa pepejal awal tahun ini.

China pengimport terbesar sisa plastik untuk kitar semula. Ia membawa masuk lebih 30 juta tan bahan itu dari seluruh dunia setiap tahun. Penguatkuasaan polisi China telah menyebabkan negara seperti Australia, Britain dan Amerika Syarikat yang selama ini bergantung kepada China untuk kitar semula berhadapan dengan masalah lambakan sisa plastik.

Kerana tiada hala tuju dan tiada kemudahan, negara seperti Australia terpaksa mencari pilihan iaitu mengeksport sisa plastik ke Asia Tenggara. Akibatnya, maka berlakulah apa yang berlaku kemudian.

Malaysia menjadi antara negara yang tiba-tiba menerima berjuta tan sisa plastik setiap tahun. Sekiranya ditangani dengan wajar, proses kitaran semula baik untuk alam semula jadi dan perniagaan.

Tetapi, yang menimbulkan masalah adalah kemunculan operasi haram yang membakar sisa plastik seperti yang berlaku di beberapa tempat. Kepulan asap sangat bahaya kepada kesihatan manusia.

Banyak negara terus mengeluarkan sisa yang mereka tidak tahu ke mana mahu dibuang. Dalam keadaan begitu, logiknya ialah bahan buangan itu diterima oleh negara-negara yang tidak menyekat kemasukan sisa.

Bayangkan, kalau sisa plastik dan bahan buangan dalam negara sendiri pun tidak mampu dikitar semula, apatah lagi dengan sisa yang diimport! Yang menjadi masalah besar dalam proses kitar semula adalah pengasingan bahan buangan.

Pengguna perlu mainkan peranan, Jangan guna beg plastik sekiranya tidak perlu dan asingkan siap-siap sisa buangan sebelum dimasukkan dalam tong.

Tindakan Selangor menutup kawasan pemprosesan sisa plastik secara haram perlu diteladani untuk menjamin kesihatan penduduk.

Bagi kita sebagai pengguna, peranan yang terbaik yang boleh kita mainkan untuk kepentingan negara dan kesihatan masyarakat adalah elak guna beg plastik.