TIDUR malam kini tidak lagi senyenyak dulu. Rakyat Eropah kini semakin terganggu dengan mimpi buruk peristiwa yang tidak pernah terbayang dalam benak fikiran mereka. Sambutan Krismas hujung tahun ini belum tentu menjadi momen yang membahagiakan lagi. Brexit yang menemui jalan buntu dan kebangkitan rakyat Perancis dalam rusuhan ganas Yellow Vests adalah antara fenomena yang sedang memuncak sampai ke saat ini.

Sepintas lalu, Brexit telah melalui satu rentetan peristiwa yang belum pernah dialami oleh mana-mana negara anggota EU. Ringkasnya, Brexit merujuk kepada tindakan Britain keluar dari EU.

Cakap-cakap politik yang mendorong Britain keluar dari Kesatuan Eropah (EU) telah bermula seawal 1990-an khususnya atas desakan parti berhaluan kanan yang anti-EU atau Euroskeptik.

Dalam referendum Brexit pada 23 Jun 2016 yang lalu, majoriti rakyat (51.9 peratus) memilih untuk keluar dari EU, yang bermakna, kurang separuh lagi rakyat Britain mahu kekal dalam EU. Ini jelas satu keputusan yang kurang solid, rakyat terbelah dua dan berpotensi untuk berlakunya krisis perpecahan sekiranya pemimpin gagal untuk menjayakan atau ‘deliver’ hasrat Britain dengan sempurna.

Ekoran keputusan rakyat tersebut, David Cameron, Perdana Menteri Britain ketika itu telah melepaskan jawatannya kerana pendiriannya yang ingin kekal dalam EU. Theresa May diangkat memimpin parti Conservative (atau Tories) dan mengetuai kerajaan Britain sebagai Perdana Menteri Britain yang baharu.

Bebanan politik Theresa May

Dari saat itu, Theresa May memikul ‘bebanan politik’ yang tidak pernah digalas oleh mana-mana pemimpin Britain sebelum ini. Brexit terus menjadi perdebatan hangat dalam Parlimen dan seluruh rakyat Britain kerana defisit kepercayaan rakyat terhadap kerajaan serta strategi rundingan Brexit masih lagi samar-samar.

Bagi mendapatkan mandat baharu, Theresa May mengumumkan ‘snap election’ dilaksanakan. Agak mengejutkan, Tories gagal membentuk kerajaan majoriti (single-party government) kerana kekurangan 9 kerusi dan berlakunya ‘hung parliament’ buat kali ketiga dalam sejarah Britain. Keputusan ini satu tamparan kepada Theresa May. Usaha membentuk kerajaan pakatan bagaimanapun berhasil apabila Democratic Unionist Party (DUP) sudi menerima lamaran Tories.

Seterusnya, pada 29 Mac 2017, Theresa May telah mengemukakan Artikel 50 Treaty of European Union melalui surat rasmi kerajaan Britain kepada Presiden Majlis Eropah (European Council), Donald Tusk. ‘Surat niat bercerai’ tersebut antaranya mengesahkan keputusan Britain untuk keluar dari EU serta komuniti tenaga yang dikenali sebagai European Atomic Energy Community (Eurotom). Britain dijadualkan akan bercerai dari EU secara sah pada 30 Mac 2019. Langkah Britain ini boleh dipuji sebagai ‘beradab’ dan mematuhi prosedur dalam perjanjian yang telah dimeterai selama ini.

Hampir 20 bulan lamanya, rundingan Brexit baru terlihat cahayanya apabila EU secara rasmi merestui niat Britain untuk keluar. Pada 25 November yang lalu, kesemua 28 pemimpin negara anggota EU telah berunding dan bersetuju dengan beberapa janji atau deals yang dimeterai antara Britain melalui Theresa May dan EU. Antara intipati ‘May’s Deal’ tersebut adalah:

Kos cerai berjumlah Euro 39 bilion (atau USD$50 bilion);

Status penduduk Britain di negara-negara EU dan sebaliknya;

Irish ‘backstop’ - isu sempadan antara Utara Ireland (milik UK) dan Republik Ireland (milik EU) dibiarkan terbuka;

21 bulan tempoh transisi sehingga 31 Disember 2020

Lantas Theresa May pulang ke Parlimen Britain dan membentangkan yakinnya ini adalah satu-satunya ‘perjanjian cerai’ yang paling munasabah - the only possible deal. Jeremy Corbin, ketua pembangkang daripada parti Labour bangkit dan ‘membelasah’ Theresa May. Kritikan terhadap PM Britain itu mendominasi House of Commons termasuklah anak-anak buah Theresa May dan anggota-anggota Parlimen Tories sendiri.

Lebih malang lagi dan memalukan buat May, satu proses undian yang dijadualkan berlangsung pada 11 Disember di Parlimen Britain bagi memutuskan sama ada menerima ‘May’s Deal’ atau tidak, telah ditangguhkan tanpa menyatakan tarikh secara jelas (kemungkinan 21 Disember). Satu lagi tamparan buat May yang jelas mengisyaratkan May tidak mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat Britain.

Selepas mengumumkan penangguhan proses undian terhadap perjanjian tersebut, May telah ‘lari’ ke Brussels menemui sekutu politiknya dari Belanda, Jerman dan pemimpin EU yang lain untuk berunding semula khususnya ‘menyelesaikan’ isu sempadan Ireland atau ‘Irish backstop’.

Di luar dewan, majoriti rakyat menuduh May mengkhianati referendum Brexit. Protes jalanan oleh pro-Brexit atau Brexiteers berlangsung di banyak tempat awam dengan laungan dan sepanduk yang tertulis: ‘Brexit means Brexit’, ‘Theresa the Appeaser- Puppet for Brussels’, ‘Leave means Leave’, ‘Brexit Now!’. Jelas, rakyat sudah letih dan terlalu marah dengan proses Brexit yang panjang dan belum berkesudahan.

Brexit buntu

Perjalanan Brexit mengalami jalan buntu. Ramai penganalisis termasuk ahli-ahli Parlimen terus berdebat hangat serta mencadangkan jalan keluar kepada krisis ini. Antaranya:

Referendum kedua - mengembalikan semula hak kepada rakyat untuk membuat keputusan. Namun, ramai menganggap referendum pertama sudah mencukupi dan sah; referendum kedua hanya membuang wang dan masa rakyat serta referendum kedua hanya menafikan keputusan yang telah dibuat oleh rakyat pada tahun 2016. Ada juga yang mengusulkan satu kaedah referendum dikenali ‘Borda Count’ yang jelas menyulitkan rakyat dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Britain.

No Deal - bermakna kerajaan Britain keluar dari EU begitu sahaja tanpa apa-apa perjanjian dibuat dengan EU. Ini akan mengakibatkan masalah yang parah khususnya ekonomi akan membengkak, perdagangan akan mengalami kerugian teruk, isu sempadan Britain-EU yang menjejaskan kos dan masa malah kelestarian sistem perhubungan juga akan terjejas teruk.

New Deal - Theresa May sekali lagi berunding dengan EU untuk memperbaiki perjanjian yang menjamin hak-hak dan menguntungkan Britain. Proses ini bagaimanapun dilihat sukar kerana EU enggan berunding kali kedua serta ia memakan masa tatkala tempoh yang terbaik amat terbatas. Ini juga akan melibatkan proses meminda perjanjian keluar atau ‘Withdrawal Agreement’ untuk menunda tarikh keluar serta kembali lagi mendapat restu House of Commons.

Usul Tidak Percaya - Ahli-ahli Parlimen boleh mengusulkan usul tidak percaya terhadap Theresa May. Jika usul berjaya, May terpaksa berundur dari jawatannya dan perdana menteri baru perlu diangkat. Namun, jalan ini belum nampak menunaikan hasrat sebenar Brexit.

‘Snap election’ - pilihan raya baru dilaksanakan untuk mendapatkan mandat rakyat dan memilih kepimpinan baharu. Jalan ini munasabah namun ia tetap menyusahkan rakyat, membuang wang dan masa rakyat dan melibatkan banyak lagi politiking, kempen dan perpecahan yang tiada kesudahan.

Amat jelas, Britain dalam krisis yang berisiko tinggi dan membimbangkan. Setelah lebih dua tahun, usaha untuk memenuhi hasrat majoriti rakyat Britain untuk keluar dari EU masih buntu dan menyesakkan dada.

Sebagai pemerhati, banyak pengajaran yang dapat dipelajari daripada perjalanan Brexit ini. Pertama, ia satu ujian kepimpinan kepada kerajaan dan pembangkang untuk memenuhi hasrat rakyat dalam usaha menjamin kepentingan dan mempertahankan kemakmuran hidup mereka.

Kedua, rakyat akan mula penat dan marah apabila janji tidak ditunaikan segera. Ketiga, Kesatuan Eropah belum berjaya menjadi model terbaik sebagai badan politik dan ekonomi supranational yang mampu menjamin kepentingan semua negara-negara anggotanya.

Keempat, cakap-cakap politik yang cenderung kepada ketuanan Britain yang dijuarai kelompok populis dan haluan kanan semakin menguasai pentas politik Britain. Kelima, peristiwa Brexit berpotensi untuk berjangkit kepada negara-negara EU yang lain kerana pengembangan idea anti-EU dan keresahan hati rakyat terhadap cabaran hidup.

Kesimpulannya, rakyat Britain telah mementaskan satu persembahan demokrasi yang tersendiri apabila berdepan dengan krisis negara, yang setakat ini masih terkawal tanpa unsur keganasan seperti yang berlaku di Perancis. Krisis kepimpinan sedang menguji Theresa May akibat tersepit dalam kancah politiking yang maha dahsyat daripada rakyat, anak buah, musuh politik dan juga sekutunya di peringkat EU.

*Penulis ialah pelajar PhD Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia, aktivis Gen Two Training Academy (Gentra) dan Pengasas Euromates