ISU dan komen-komen berkaitan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) tiba-tiba melanda seperti tsunami.

Menurut mereka yang mengikuti isu ini dari dekat, isu itu telah lahir sejak tahun 1960-an lagi. Tetapi mereka yang sedar tentu tidak hairan bagaimana tidak semena-mena semua golongan masyarakat, yang Melayu dan bukan Melayu, bercakap dan berdebat mengenai isu yang menjadi hangat kebelakangan ini.

Tentu ada yang kipas dan cuba panaskan isu ini bagi tujuan yang mereka sendiri tahu. Cuma ada baiknya juga supaya ia tidak dipandang remeh oleh mana-mana pihak yang merasa isu ini tidak perlu ditimbulkan langsung. Masyarakat dari setiap lapisan kini berbicara mengenai isu ini dan meluahkan perasan masing-masing.

Sama ada semua yang berbicara isu tersebut faham atau tidak apa yang boleh berlaku dan apa yang tidak, tidaklah pula dapat dipastikan. Segelintir orang Melayu Islam seolah-olah rasa bimbang dengan nasib masa depan mereka di tanah air sendiri. Ada juga khuatir mereka akan hilang hak kepada orang lain. Beberapa pihak, termasuk parti-parti besar mengeluarkan kenyataan mahu berjuang menentang sebarang usaha yang boleh mengancam masa depan orang Melayu Islam.

Beberapa pihak sudah membuat pesiapan untuk turun ke jalan bagi melaungkan penolakan mereka terhadap sebarang usaha menandatangi perjanjian berkaitan ICERD.

Beberapa pihak mendesak kerajaan bertindak tegas dan jangan sekali-kali tunduk kepada sebarang tuntutan untuk menandatangani perjanjian berkaitan.

Jawapan Perdana Menteri dari Port Moresby, dua hari lalu sepatutnya melunturkan segala prasangka dan kebimbangan yang masih ada dalam kalangan orang Melayu dan Islam.

Tun Dr Mahathir Mohamad telah memberi jaminan kepada rakyat bahawa tiada kekecohan akan berlaku susulan usaha Putrajaya meraktifikasi ICERD. Dalam masa sama beliau tidak menolak kemungkinan kekecohan berlaku disebabkan kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sejak awal mengambil tampuk pentadbiran negara, Dr Mahathir sudah menjelaskan kerajaan memang sensitif terhadap pandangan rakyat dan akan sentiasa mendengar.

Isu ICERD ini dipercayai akan membuktikan ketepatan janji tersebut. Perlu disebut, tiga hari lalu, Ahmad Zahid menegaskan pihaknya akan mengadakan protes menentang ICERD dengan kerjasama Pas, jika konvensyen itu diraktifikasi.

Dr Mahathir, bagaimanapun sudah memberi penjelasan isu melibatkan pindaan Perlembagaan Negara sangat serius dan ia memerlukan persetujuan dua per tiga Parlimen jika mahu dipinda. Dengan kekurangan dua pertiga ahli Parlimen kerajaan, ia tentunya memerlukan sokongan pembangkang.

Perkara ini, kata Dr Mahathir, mungkin sukar dilaksanakan. “Sedangkan anggota Parlimen kerajaan sendiri tidak menyokong. Jadi saya rasakan agak mustahil untuk kita mencapai sokongan dua pertiga majoriti,” ujarnya.

Namun, masih ada pihak terus mendesak kerajaan tidak meneruskan cadangan meratifikasikan ICERD bagi mengelak ketegangan dan keresahan rakyat.

Antaranya, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor yang mengingatkan kebimbangan yang mungkin boleh membawa kepada akibat lebih buruk dan sukar dibendung.

"Walaupun ada individu dan pihak yang menyokong cadangan meratifikasikan konvensyen tersebut dengan alasan ia akan menyediakan peluang kepada masyarakat mengemukakan aduan terhadap diskriminasi kaum, namun hal sedemikian tidak relevan di negara ini," katanya.

Bagi Wan Salim, keadilan bukanlah bererti kesamarataan, tetapi meletakkan sesuatu pada tempatnya yang sebenar dan sesuai dengan kedudukannya.

Katanya, tidak timbul isu hak keistimewaan orang Melayu dan kaum-kaum Pribumi yang disepakati oleh semua pemimpin kaum negara ini ketika menuntut kemerdekaan dahulu.

"Keadilan menghendaki, sebagai penduduk asal negara ini, orang Melayu dan Bumiputera perlu diberikan hak-hak istimewa sebagai timbal balas terhadap sikap 'murah hati' mereka berkongsi kewarganegaraan dengan kaum-kaum lain yang datang kemudian ke tanah air mereka.

"Maka berdasarkan kepada fakta sejarah ini, di samping beberapa perkara berkaitan seperti yang dijelaskan tadi, kita berpandangan tiada keperluan untuk pihak kerajaan meratifikasikan ICERD," katanya.

Isu berkenaan telah menimbulkan pelbagai polemik dalam kalangan rakyat di negara ini.

Pas dan Umno akan bekerjasama menganjurkan himpunan besar-besaran di ibu negara 8 Disember ini bagi membantah ICERD jika ia diratifikasi.

Dengan kenyataan Dr Mahathir bahawa adalah mustahil untuk melaksanakan ICERD, maka sudah sangat jelaslah bahawa kerajaan tidak akan tunduk dan mengikut telunjuk mana-mana pihak demi mempertahankan Perlembagaan Negara, ketenteraman awam dan kepentingan Melayu Islam.

Isu itu juga turut membuat Dewan Rakyat kelmarin panas apabila pembangkang 'menyerang' Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy berhubung pendiriannya mengenai ICERD.

Isu penyebaran video tular berhubung kenyataan Moorthy mengenai pencabulan hak asasi 10 tahun lalu ketika cuba menjelaskan pendirian kerajaan mengenai isu itu juga dibicarakan di mana-mana.

Di beberapa negeri, laporan polis juga sudah dibuat berhubung dengan kenyataan Moorthy dalam video tular yang didakwa palsu dan fitnah.

Beberapa pihak mula mendesak beliau meletak jawatan.

Walaupun ada yang masih tidak puas hati dan mahu terus mendesak supaya kerajaan jangan sesekali menandatangani konvensyen itu, peluang dan kerjasama perlu diberi kepada kerajaan untuk mengatasi isu ini secara terbaik, tanpa menjejas harmoni, perpaduan kaum dan kepentingan orang Melayu Islam.

* Penulis bekas wartawan yang cenderung menulis mengenai pelbagai isu untuk kepentingan rakyat dan negara