SELAIN isu beg sekolah dan kasut hitam, isu bebanan kerja guru turut mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik. Beliau membayangkan bahawa mulai awal tahun hadapan, beban kerja guru akan berkurangan.  

Sebuah jawatankuasa khas akan mengkaji beban kerja guru dan jawatankuasa tersebut dijangka membuat perakuan tentang langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengurangkan beban kerja guru.  

Tujuan yang baik ini harus disokong. Cuma, sejauh manakah guru masa kini amat terbeban dengan kerja yang banyak? Persoalannya, benarkah guru terbeban dengan banyak kerja? Disebabkan guru terbahagi kepada beberapa kategori, guru kategori manakah yang terbeban itu? Apakah jenis kerja yang membebankan guru? Dan soalan terakhir yang perlu dijawab ialah siapakah yang memberikan bebanan kerja kepada guru? Semua soalan ini perlu dijawab secara profesional bukan berdasarkan ‘dengar cakap’ sahaja.

Secara dasarnya, semua guru mesti melaksanakan tugas hakikinya iaitu guru mesti mengajar, termasuklah pengetua dan guru besar.  Rata-rata guru biasa atau guru penolong akan mengajar antara 24 hingga 30 waktu seminggu manakala pengetua dan guru besar perlu mengajar sekurang-kurangnya enam waktu seminggu manakala penolong kanan pentadbiran, hal ehwal murid dan kokurikulum pula waktu mengajarnya 12 hingga 18 seminggu.  

Semua guru mesti menjalankan tugas hakiki ‘mengajar’ kerana tugas itu adalah merupakan kelayakan ikhtisas mereka. Hal inilah membezakan profesion guru dengan profesion bukan guru.

Berbalik kepada tiga soalan di atas, jelas bahawa guru atas tugas hakikinya mengajar tidaklah terkategori sebagai terbeban kerana tugas mengajar mengikut jadual masa yang ditetapkan itu merupakan tugas rasmi yang membolehkannya mendapat gaji bulanan ditetapkan.  

Selain mengajar, guru juga perlu menanda kehadiran, membentuk disiplin dan menjaga kebajikan murid sepanjang murid berada dalam kawalan guru di sekolah. Guru juga terlibat dalam aktiviti kokurikulum dan menjalankan kelas tambahan atau bimbingan pada waktu petang termasuk pada hari Sabtu.

Walau bagaimanapun, Kementerian Pendidikan seperti juga kementerian-kementerian yang lain, tidak dapat mengelak daripada penggunaan aplikasi secara ‘online’ dalam penghantaran atau penerimaan maklumat melalui internet.  

Maklumat boleh diakses secara cepat dan komprehensif misalnya secara emel melalui pelbagai sistem yang diwujudkan oleh bahagian-bahagian di bawah Kementerian Pendidikan. Dengan adanya sistem ‘online’, maka adalah kerja tambahan untuk guru. Guru-guru perlu menghadap komputer bagi mengisi data yang diperlukan mengikut jadual masa ditetapkan.  

Adakah semua guru terlibat dengan tugas-tugas perkeranian ini dan adakah tugas itu perlu dibuat pada setiap hari? Sebenarnya bukanlah semua guru terlibat bagi penghantaran data dan bukan pula perlu dihantar secara harian. Kebanyakannya hanya perlu diisi dan dihantar secara berkala seperti sebulan sekali atau dihantar apabila diperlukan sahaja.  

Jika demikian, kenapakah kita mengatakan guru terbeban dengan banyak kerja perkeranian? Apatah lagi di setiap sekolah, khususnya ada guru data yang boleh membantu yang waktu mengajarnya 12 waktu sahaja dalam seminggu.

Sesungguhnya, bebanan kerja boleh dikaitkan dengan prestasi kerja guru. Ada guru mendakwa dia tidak dapat menumpukan tugas pengajaran kerana terbeban dengan tugas perkeranian. Ada juga guru mengatakan mereka mengalami tekanan perasaan atau stres akibat  terlalu banyak kerja perlu dibuat.   

Menteri Pendidikan sendiri menyatakan lebih 2,000 guru sedang mengalami stres hingga beliau bercadang mahu menambah bilangan kaunselor organisasi di pejabat pendidikan daerah. Benarkah dakwaan prestasi kerja menurun dan stres berpunca daripada beban kerja atau pun disebabkan oleh faktor-faktor peribadi guru itu sendiri.

Guru adalah manusia biasa maka guru juga tidak terkecuali dengan masalah-masalah peribadi yang menjejas prestasi kerja dan mengalami stres akibat masalah kewangan, rumah tangga, kesihatan dan sebagainya.

* Penulis ialah Munsyi Dewan sejak tahun 1995. Beliau merupakan pesara pegawai pendidikan daerah dan bekas guru pakar Bahasa Melayu