SEMALAM pihak polis dan DBKL telah membuat keputusan untuk membenarkan himpunan ICERD 8 Disember tertakluk kepada syarat-syarat yang dikenakan.

Pihak polis tentunya berkeyakinan bahawa mereka mampu mengawal keadaan pada hari itu bila mereka membuat keputusan tersebut.

Sama ada keputusan ini tepat dan wajar dalam keadaan semasa akan terjawab pada hari tersebut. Jika ianya dapat diadakan dalam keadaan yang aman dan terkawal, maka kita semua boleh mengucap syukur Alhamdullillah. “All is well that ends well”.

Dalam keadaan itu, himpunan tersebut akan dilihat sebagai satu proses kematangan dan penyuburan amalan demokrasi di negara kita di mana kerajaan telah mengambil pendekatan dan sikap yang toleran dan rakyat pula telah menggunakan hak mereka dengan penuh tanggungjawab.

Tetapi jika ianya menjadi kecoh sehingga mencetus rusuhan yang mengancam ketenteraman awam, maka ianya pasti akan menimbulkan persoalan dan pertikaian tentang kebijaksanaan serta kewajaran kerajaan membuat keputusan.

Kita hanya mampu berdoa dan berharap yang terbaik demi kesejahteraan rakyat jelata.

Pilihan untuk kerajaan

Sebenarnya kerajaan mempunyai sekurang-kurangnya 2 pilihan untuk menangani himpunan 8 Disember, iaitu sama ada mengharam atau membenarkannya.

Untuk mendapat perspektif yang lebih menyeluruh tentang keputusan ini, mari kita sama-sama mengimbasi polemik tentangnya.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad telah menggesa agar himpunan tersebut tidak diteruskan, memandangkan keadaan politik semasa yang agak tegang. Hatta untuk tujuan kesyukuran sekalipun. Katanya ada cara lain yang lebih wajar untuk merakamkan kesyukuran.

Beliau berkata penerusan himpunan itu hanya mengundang "hal yang tidak baik" selain kemungkinan ada pihak tidak bertanggungjawab akan mengambil kesempatan.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor juga ikut menggesa agar himpunan tersebut dibatalkan.

Terdahulu bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin juga telah berkata bahawa himpunan tersebut tidak perlu diteruskan lagi kerana kerajaan telahpun membuat keputusan yang memenuhi tuntutan rakyat. Tambah beliau ini akan menyejukkan sikit suhu dan bahang politik semasa yang agak panas kebelakangan ini.

Dan terbaru, Sultan Nazrin Shah juga ikut memberi peringatan kepada rakyat terutama pemimpin supaya tidak menjadi "dalang" melakukan provokasi dan menyemarakkan permusuhan serta kebencian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Jadi jika kerajaan memilih untuk mengharamkan himpunan tersebut, mereka mempunyai cukup alasan sebagai justifikasinya.

Sebaliknya, jika kerajaan mahu membenarkan himpunan tersebut, mereka juga mempunyai asas dan alasan untuk menghalalkannya. Mereka boleh mengambil pendirian bahawa di bawah era Malaysia baharu dan selaras dengan naratif baru, kerajaan bersedia untuk menghormati dan akur dengan hak asasi manusia termasuk hak untuk berhimpun dan bersuara.

Mereka juga boleh merujuk kepada pandangan Dr Maza yang mencadangkan kepada pihak yang ingin mengadakan perhimpunan bantahan ICERD untuk menukar kepada Perhimpunan "Survival Umat". Sebagai sesuatu yang lebih luas dan merangkumi aspek yang lebih besar dari kepentingan kelompok atau parti-parti tertentu.

Beliau menyatakan bahawa umat Islam amat gusar dengan perkembangan isu-isu semasa termasuklah isu ICERD dan dengan itu menyeru kepada pihak berkuasa agar memberi ruang untuk rakyat menzahirkan keresahan dalam suasana yang aman mengikut lunas undang-undang.

Penulis yang sering mengikuti dan menghormati buah fikiran Dr Maza, tidak dapat menerima sepenuhnya hujah dan alasan yang diberikan oleh beliau kali ini.

Penulis faham dengan perasaan kecewa yang dirasai oleh Dr Maza ekoran kenyataan-kenyataan serta sikap yang melampau dan mencabar oleh pihak-pihak tertentu dari kalangan bukan Muslim yang menyokong ICERD.

Tetapi penulis yang selalu mengikuti Minda Tajdid Dr Maza masih peka dengan ajaran dan peringatan yang telah disampaikan oleh beliau. Antara peringatan-peringatan beliau yang masih segar terpahat di dalam hati nurani penulis ialah ayat Quran berikut:

"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana ALLAH, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Dan juga apa yang telah dipesankan, antara lainnya, oleh Nabi Muhammad SAW dalam khutbah widanya:

"Tuhan kamu adalah Esa, datuk kamu pula adalah satu, kamu semua berasal daripada Adam dan Adam telah dijadikan daripada tanah. Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah mereka yang paling bertaqwa kepada ALLAH. Tidak ada kelebihan bangsa Arab terhadap bangsa lain kecuali dengan taqwa" (QS Al-Maidah 5:8)

Ketenteraman awam dan keharmonian kaum tanggungjawab bersama

Penulis berpendapat bahawa jika adapun manfaat yang boleh diraih dari himpunan tersebut sepertimana yang diharap-harapkan oleh Dr Maza, ianya adalah terlalu kecil jika dibandingkan dengan risiko rusuhan dan bibit-bibit negatif yang mungkin tercetus dari himpunan tersebut.

Kita perlu mengambil iktibar dari rusuhan yang berlaku dalam insiden Kuil Sri Maha Mariamman Seafield baru-baru ini. Jika dibanding dengan kes kuil tersebut, himpunan 8 Disember pastinya akan melibatkan lebih ramai peserta dan membangkitkan isu yang sensitif dan emosional. Oleh itu ianya boleh mengundang implikasi yang lebih serius kepada ketenteraman awam dan keharmonian kaum.

Kerajaan telah membuat keputusan

Apapun kerajaan telah membuat keputusan untuk membenarkan himpunan tersebut. Kita terpaksa menerimanya dengan hati yang terbuka dan dengan doa serta harapan bahawa ianya akan berlangsung dalam keadaan terkawal dan aman damai.

Politik Pas dan Umno

Pas dan Umno juga berkewajipan untuk memainkan peranan mereka sebagai pembangkang dengan penuh tanggungjawab. Pada mulanya Pas dan Umno ingin mengadakan himpunan untuk membantah ICERD. Setelah menyedari bahawa matlamat asal sudah tidak relevan lagi berikutan keputusan kerajaan tidak meratifikasikan ICERD, matlamat asal telah diubah kepada himpunan untuk meraikan kemenangan mereka yang konon-kononnya berjaya memaksa pihak kerajaan membuat keputusan untuk tidak meratifikasikan ICERD.

Kebelakangan ini, matlamat tersebut dipinda lagi kepada himpunan kesyukuran dan mengucap terima kasih kepada pihak kerajaan.

Dan satu dua hari ini, Tok Guru Datuk Seri Hadi Awang pula berkata himpunan tersebut bertujuan "mengajar menteri-menteri" yang menyokong ICERD.

Jadi apakah sebenarnya matlamat Pas dan Umno untuk meneruskan himpunan tersebut?

Walaupun kita mengalu-alukan Pas dan Umno sebagai parti pembangkang yang berperanan untuk semak dan imbang kerajaan PH, kita tidak mahu isu-isu agama dan perkauman yang sempit dijadikan sebagai bahan dan modal politik untuk meraih sokongan rakyat. Pendekatan itu akan memecah-belahkan rakyat dan menyemarakkan rasa benci di antara kaum. Jika ini pendekatan ini yang dipilih, maka tanpa ICERD, kemungkinan ada pula isu-isu lain yang berkaitan dengan perkauman atau agama yang akan digegarkan oleh Pas dan Umno untuk meraih sokongan Melayu Islam.

Mesej yang perlu disampaikan

Apapun satu mesej yang tegas dan jelas perlu disampaikan kepada semua bahawa di bawah Malaysia baharu, tidak ada tempat, peluang dan ruang untuk ekstremis dan pelampau dari mana-mana bangsa atau agama untuk mereka bertindak dengan sewenang-wenangnya. Bahawa negara mempunyai undang-undang dan peraturan. Yang mana keluhurannya akan dipertahankan dan dilaksanakan tanpa was-was atau pilih kasih. (“Law and order to be upheld without fear or favour)  

***Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Sinar Harian