DIAKUI bahawa isu pasaran buruh adalah pelbagai dan kompleks. Ia dicengkam dengan isu-isu seperti pasaran yang tidak sempurna (imperfect market, distortions and mismatch), kurang pekerja yang berkemahiran, produktiviti buruh yang rendah, sikap pekerja yang negatif, diskriminasi, pengangguran, buruh asing dan banyak lagi. Justeru gaji pekerja yang rendah hanyalah sebahagian dari banyak masalah yang didepani oleh negara dan ianya saling berkait.

Isu pasaran buruh ini turut pula menjangkau ke bidang lain seperti struktur ekonomi, percukaian, perundangan dan pendidikan.

Saya ingin memberi perhatian kepada isu gaji pekerja iaitu lanjutan kepada perbincangan program Ruang Bicara bertajuk Memperkasa Sektor Swasta pada 27 November lalu melalui Bernama News Channel (BNC).

Isu gaji pekerja adalah kritikal kerana golongan ini, seramai 10.5 juta orang, adalah merupakan golongan terbesar (82.8%) di kalangan golongan orang yang bekerja seramai 12.7 juta orang pada tahun 2017, menurut Laporan Survei Gaji & Upah (LSGU) yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (JPM). Baki selebihnya itu adalah terdiri dari majikan, bekerja sendiri dan pekerja keluarga tanpa gaji.

Justeru jika kerajaan ingin meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat sepertimana yang dipahatkan di Tonggak II, Kajian Separuh Penggal (KSP), RMK11 maka fokus hendaklah diberikan kepada golongan ini. Oleh kerana terdapat pula kira-kira 85% pekerja bergaji bekerja di sektor swasta maka tumpuan utama hendaklah diberikan kepada mereka ini. Baki 15% bekerja di sektor kerajaan, termasuklah GLC/GLIC.

Isu gaji melibatkan dua pihak utama iaitu di satu pihak, majikan yang membayar gaji dan di satu pihak lagi ialah pekerja yang menerima gaji atas perkhidmatan yang diberi. Antara dua pihak itu terdapatlah berbagai faktor yang menjadi input pertimbangan dalam menentukan gaji seseorang pekerja. Antaranya ialah kelulusan/kemahiran, jenis pekerjaan, pengalaman, produktiviti, penawaran dan permintaan, kekuatan syarikat dan lain-lain lagi.

Menurut LSGU yang sama, gaji purata dan gaji penengah pekerja warganegara Malaysia pada tahun 2017 adalah masing-masing sebanyak RM2,880 dan  RM2,160 sebulan.  Ini juga bermakna bahawa separuh daripada pekerja di negara kita mempunyai gaji di bawah RM2,160 sebulan.

Dalam pada itu, menurut JPM, sumbangan gaji & upah atau pampasan pekerja kepada Pendapatan Kasar Negara (PKN) adalah sebanyak 35.2% pada tahun 2017 manakala sumbangan lebihan operasi kasar (gross operating surplus) adalah sebanyak 60.0%. Baki 4.8% ialah cukai tolak subsidi.

Kerajaan, semasa membentangkan KSP, telah memberikan komitmen untuk meningkatkan sumbangan pampasan pekerja kepada 38.0% menjelang 2020. Dijangka kerajaan akan menyediakan roadmap yang konkrit untuk mencapai sasaran tersebut.

Diakui bahawa sasaran tersebut amatlah mencabar. Cabaran sudah pasti datangnya dari majikan, para pekerja dan industri keseluruhannya kerana, secara kasar, sasaran kenaikan gaji yang hendak dicapai itu adalah agak tinggi iaitu sekurang-kurangnya 9% setahun. Walau bagaimanapun, tetap ada ruang dan peluang untuk melonjakkan gaji pekerja.

Pertama sekali, menyegerakan penyusunan semula struktur ekonomi dari yang berasaskan tenaga buruh bergaji rendah kepada ekonomi yang dipacu oleh teknologi tinggi dan gajinya tinggi; khususnya berhijrah ke ekonomi digital atau IR4.0 / IR5.0. Kerajaan hendaklah menyediakan pelbagai insentif untuk menggalakkan penghijrahan tersebut dan, pada masa yang sama, memperkenalkan pula tindakan dan instrumen yang tidak menggalakkan (disincentivise) pengambilan buruh asing.

Kedua, melaksanakan program latihan deskilling, re skilling and up skilling secara agresif dan intensif agar pekerja kita yang berkemahiran (36.8%) jauh lebih ramai dari pekerja separuh mahir (55.0%) serta mampu memenuhi permintaan pasaran baru. Yang demikian gaji bulanan pun akan turut meningkat.

Lonjakan ini sudah pasti kerana, pada tahun 2017, menurut laporan Survei yang sama, gaji penengah pekerja mahir (RM3,600 sebulan) adalah 114% lebih tinggi dari gaji pekerja separa mahir (RM 1,680 sebulan). Sekali gus boleh mencapai gaji kehidupan wajar (living wage) sebanyak RM2,700 sebulan bagi seorang dewasa yang tinggal di Kuala Lumpur, menurut Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2017.

Untuk memantapkan inisiatif ini, disyorkan kerajaan memperkenalkan sistem pensijilan untuk memberikan pengiktirafan ke atas latihan yang diterima dan memudahkan penetapan gaji.

Pada masa yang sama, outcome program latihan ini sudah pasti akan menjana kenaikan produktiviti buruh. Yang demikian, kenaikan gaji yang didorong oleh kenaikan produktiviti buruh sudah tentu tidak merugikan syarikat.

Perlu diakui bahawa tahap purata produktiviti buruh kita, menurut MPC, adalah rendah (AS$64,061) jika dibandingkan dengan negara yang berpendapatan tinggi seperti Singapura (AS$142,823). Justeru tahap produktiviti buruh kita perlulah dijulang untuk menyokong kenaikan gaji.

Pada masa yang sama, para majikan pula hendaklah bersedia mengubah mindset mereka dengan bersikap lebih berperi kemanusiaan iaitu bersedia menaikkan gaji dan sanggup pula mengurangkan margin keuntungan syarikat. Sesungguhnya ruang ini amatlah terbuka luas.

Jika kita bandingkan dengan banyak negara, sumbangan pampasan pekerja Malaysia kepada PNK jauh lebih kecil manakala sumbangan lebihan operasi kasar pula jauh lebih besar, sepertimana yang ditunjukkan dalam peta di bawah. Data ini boleh diinterpretasikan seolah-olah buruh kita ditindas manakalah majikan kita amatlah tamak dan zalim.

Pada masa yang sama, usaha-usaha lain mestilah juga dilaksanakan untuk memastikan pasaran buruh adalah lebih sempurna, pelbagai bentuk diskriminasi dihapuskan, persekitaran pekerjaan adalah lebih kondusif serta kehidupan rakyat adalah lebih saksama dan sejahtera.

Untuk mencapai matlamat tersebut maka disyorkan Akta Kesaksamaan Peluang Pekerjaan digubal, Suruhanjaya Kesaksamaan Peluang Pekerjaan diwujudkan dan Mahkamah Rayuan Perusahaan ditubuhkan.

Perbincangan tiga pihak (Tripartite) antara Kerajaan, Majikan Swasta dan Pekerja Swasta hendaklah disegerakan untuk merealisasikan matlamat ini.

Datuk Akbar Ali

Pakar Runding Ekonomi, Majlis Perundingan Melayu