"MASUK PALAPES?" "Oh, tak mungkin." Situasi sebegini mungkin biasa didengar terutama bagi pelajar baharu mendaftar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) apabila disarankan atau ditawarkan untuk menyertai aktiviti kokurikulum beruniform terutama dalam PALAPES (Pasukan Latihan Pegawai Simpanan) atau juga sinonim sebagai ROTU (Reserve Officer Training Unit). Ini kerana mungkin sesetengahnya masih dibelenggu mitos tentang cabaran yang harus dilalui terutama semasa menjalani latihan fizikal di lapangan.

Kokurikulum PALAPES sama ada Darat, Laut, Udara mahupun seumpama pasukan khas sebagaimana digambarkan dalam filem fenomena, PASKAL, merupakan kokurikulum amat mencabar yang memerlukan kesabaran, komitmen, kewibawaan dan kemampuan pelajar kerana harus memiliki ketahanan mental dan fizikal tinggi.

Walau bagaimanapun, kenapa ia masih menjadi pilihan utama mahasiswa termasuk kalangan wanita? Ini yang dikongsi Srikandi PALAPES, siswi-siswi kental dan tiada gentar berdepan cabaran ini.

SIFAT KEPIMPINAN

Leftenan Muda Amylia Syazwani Ahamad Tamizi

Menurut Leftenan Muda Amylia Syazwani Ahamad Tamizi dari Fakulti Kejuruteraan (Perisian Pengkomputeran), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), minatnya memasuki PALAPES asalnya hanya kerana ajakan kawan.

"Tetapi, apabila melalui beberapa latihan, saya mula 'jatuh cinta' dalam ketenteraan. Sesuailah dengan diri saya yang gemar mencuba sesuatu yang lasak. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan mampu mendidik saya untuk menjadi seorang yang lebih berani dan berjiwa kental kerana aktiviti dilakukan menguji keupayaan dari segi  mental mahupun fizikal. Saya mampu membuktikan pada diri saya bahawa jantina bukan penghalang," katanya.

Tambahnya yang menyertai pasukan PALAPES Darat ini, meskipun berdepan cabaran melawan mental dan ketahanan diri semasa menjalani latihan di samping pengurusan masa dengan komitmen akademik, namun dengan memasuki PALAPES, peluang pekerjaan juga lebih cerah memandangkan pelbagai softskill yang diperlukan dalam industri telah diasah semasa di dalam pasukan ini.

"Kami telah dididik untuk menyelesaikan sesuatu tugasan dalam masa singkat walaupun dikelilingi banyak tekanan. Seterusnya, sifat kepimpinan yang dipupuk sangat membantu di alam pekerjaan nanti tidak kira dalam menyampaikan arahan mahupun menerima arahan," jelasnya sambil berharap berpeluang untuk terus berkhidmat pada negara mahupun menyertai latihan ketenteraan di luar negara seperti di Singapore Armed Force Training Institute (SAFTI) dan Royal Military Academy Sandhurst (RMAS), United Kingdom.

BUKAN HANYA SATU PROGRAM KOKURIKULUM BIASA

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.887164.1538560012!/image/image.jpg
Nur Fatin ketika menerima pentauliahan kenaikan pangkat daripada Komandan Palapes Upsi, Kolonel (K) Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.

Bagi Pembantu Pegawai Rendah Kanan (SSUO - Seconder Senior Under Officer), Nur Fatin Abdul Rahman, penuntut Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), pendedahan semasa dalam minggu orientasi terhadap aktiviti ini membulat tekadnya menyertai PALAPES yang turut mendapat restu dan sokongan daripada bapanya, bekas tentera.

"Ayah kata, apabila menyertai ATM (Angkatan Tentera Malaysia), kita akan didedahkan bekerja dalam satu kumpulan. Nilai-nilai kerjasama, 'esprit de corps' dan kesatuan akan dititikberatkan," katanya.

Malah, menurutnya lagi, mengikuti program PALAPES di universiti bukan hanya satu program kokurikulum biasa, sebaliknya pelajar yang berjaya menamatkan latihan dan ditauliahkan sebagai Pegawai Tentera berpangkat Leftenan Muda berpeluang diserapkan dalam Rejimen Askar Wataniah dan boleh bergiat aktif di Pasukan Askar Wataniah (Siri 500) atau di PALAPES sendiri sebagai Pegawai Sukarela.

PELUANG KERJAYA

Leftenan Muda Nur Effa Azila M Nasir

Cabaran dan pengalaman sama turut dikongsi Leftenan Muda (PSSTLDM) Nur Effa Azila M Nasir, penuntut Bacelor Pengurusan Alam Sekitar, Fakulti Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menurutnya yang menyertai PALAPES Laut (ROTU Navy), selain sukakan cabaran dan aktiviti lasak, dia juga dapat belajar banyak perkara baharu yang tidak akan dapat di mana-mana jika tidak menyertainya.

"Bagi PALAPES Laut, jika kami tidak lulus ujian renang, kami tidak akan dapat ditauliahkan sebagai Leftenan Muda PSSTLDM kerana ia salah satu syarat untuk ditauliahkan.

"Kelebihan menyertai PALAPES ni, dari segi peluang pekerjaan ditawarkan sangat luas. Kami boleh memilih untuk terus berkhidmat sebagai PSSTLDM walaupun mempunyai kerjaya dan menyertai latihan serta kursus ditawarkan kepada PSSTLDM. Peluang lain yang ada ialah menjadi pegawai tetap dalam TLDM dengan menyertai Skim Pegawai Graduan," jelasnya.