CEPAT dan mudah untuk jadi kaya! Siapa yang tak nak, kan? Lazimnya, inilah cara yang selalu digunakan oleh sindiket MLM atau lebih dikenali sebagai skim cepat kaya. Sindiket ini giat menyasarkan golongan mahasiswa terutamanya di universiti sekitar Lembah Klang dan memanipulasikan golongan ini yang dilihat naif dan senang ditipu.

Keterlibatan mahasiswa dalam skim ini adalah disebabkan oleh sikap dan mentaliti masyarakat kita yang ingin mendapatkan kekayaan dengan jalan mudah serta cepat tanpa perlu berusaha keras. Tambahan pula mereka didendangkan mengenai 'success story' yang direka-reka oleh sindiket supaya masyarakat tertarik untuk melabur di dalam skim yang ditawarkan.

Kosiswa jalan terbaik jana pendapatan

Tidak dinafikan terdapat juga skim MLM yang berdaftar secara sah di bawah peruntukan undang-undang, namun kini terdapat lambakan skim yang dijalankan secara tidak sah dan menjalankan penipuan sebagai modus operandi mereka.

Walaupun terdapat skim MLM secara sah, skim ini tetap memerlukan usaha dan komitmen pelabur untuk mengembangkan nilai saham mereka. Ini membuktikan bahawa tiada jalan singkat untuk berjaya dan ianya hasil daripada usaha keras.

Saham Kosiswa terbuka kepada pelajar dan alumni UiTM bertujuan menggalakkan mahasiswa terlibat secara langsung kepada dunia perniagaan

 

"Saranan saya kepada masyarakat Malaysia terutamanya golongan mahasiswa dan belia agar terlibat dalam aktiviti perniagaan yang sah, tulen dan diiktiraf oleh pihak berkuasa supaya kita tidak menyesal kemudian hari akibat daripada tindakan kita yang senang terpengaruh dengan kemewahan dan kekayaan 'olok-olok'.

"Jalan terbaik adalah dengan melibatkan diri dalam saham Kosiswa yang terbuka kepada pelajar dan alumni UiTM yang mana bertujuan menggalakkan mahasiswa terlibat secara langsung dan mendedahkan mahasiswa kepada dunia perniagaan serta gerakan koperasi universiti selain dapat memberikan pendapatan pasif kepada ahli," kata Pengerusi Kosiswa UiTM Selangor Berhad, Ahmad Naqiuddin Mohamad.

Memandangkan Kosiswa adalah sebuah entiti yang berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Kosiswa dibenarkan untuk membuka keahlian koperasi dan mendapatkan modal permulaan dan pusingan daripada ahli dengan membuka saham koperasi sekurang-kurangnya RM100 bagi mahasiswa dan RM200 bagi alumni. Modal permulaan dan pusingan yang dikumpulkan akan digunakan untuk perniagaan koperasi seterusnya menjana pendapatan bagi koperasi.

"Kosiswa UiTM kini telah terlibat dalam pelbagai jenis perniagaan antaranya peruncitan, dobi, kafetaria, optometri, percetakan dan pembekalan perkhidmatan logistik.

"Lebih istimewa, ahli Kosiswa akan mendapat pelbagai manfaat antaranya melalui dividen tahunan sehingga sembilan peratus dan berpeluang untuk menjalankan latihan industri serta terlibat sebagai pekerja separuh masa serta sepenuh masa di dalam perniagaan Kosiswa," katanya.

Menurutnya lagi, mahasiswa akan diberikan peluang untuk terlibat secara langsung dalam perniagaan koperasi yang mana mahasiswa akan diberikan peluang menimba ilmu dan pengalaman secara lebih spesifik tentang pengurusan perniagaan berskala besar. Selain itu, ahli koperasi yang mempunyai perniagaan akan diberikan bimbingan perniagaan oleh perunding profesional secara percuma. Ahli koperasi juga berpeluang untuk mendapatkan pinjaman perniagaan daripada UiTM melalui MASMED bermula serendah RM500 sehingga RM3,000 dalam membangunkan perniagaan masing-masing.

Ahli Kosiswa akan mendapat pelbagai manfaat antaranya melalui dividen tahuan sehingga 9 peratus

 

Ahli Kosiswa yang mempunyai produk juga diberikan peluang untuk memasarkan produk perniagaan di platform media sosial Kosiswa dan meletakkan produk mereka di semua outlet Kosiswa secara percuma.

"Setakat ini, Kosiswa UiTM telah melahirkan hampir 100 usahawan siswa yang berjaya dalam pelbagai bidang perniagaan melalui inisiatif yang diperkenalkan oleh Kosiswa dan UiTM," katanya.

TRIVIA:

Koperasi Siswa UiTM Selangor Berhad (Kosiswa UiTM) ditubuhkan pada 2011 di bawah inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam menggalakkan penglibatan pelajar dalam bidang keusahawanan di peringkat universiti. Ia diuruskan sepenuhnya mahasiswa UiTM dan kini beroperasi di lebih 20 premis di UiTM Selangor. Untuk terus membawa 'Agenda Memperkasakan Pembangunan Keusahawanan Mahasiswa', Kosiswa telah bekerjasama dengan pelbagai pihak antaranya UiTM, MASMED, Angkasa, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, KPT dan Kementerian Pembangunan Usahawan.