MELIHAT kawan-kawan mendapat pointer tinggi setiap kali semester tentu akan timbul perasaan teruja dengan pencapaian yang dimilikinya. Di sudut hati, timbul pertanyaan bagaimana dia mampu meraih pencapaian cemerlang dengan mengekalkan pointer setiap semester, apakah rahsianya?

Sebagai pelajar baharu terutamanya, inilah peluang anda mengutip tip-tip berharga dari mereka yang ‘berpengalaman’ memperoleh anugerah dekan atau bergelar pelajar cemerlang. Secara tidak langsung dapat memberi saranan kepada anda untuk ‘menyusun’ jadual pembelajaran dengan cara bijak seterusnya menjadi mahasiswa cemerlang pada setiap semester.

RUTIN PEMBELAJARAN

Amir Firdaus Eddy Rosyadie, mahasiswa tahun ketiga Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan merupakan antara mahasiswa cemerlang dari Universiti Malaya apabila berjaya mengekalkan pointer iaitu 4.00 pada semester 1, 3.86 pada semester 2, 3.48 semester 3 dan 3.81 pada semester 4, sekali gus melayakkannya mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.79.

“Apa yang boleh saya kongsi ialah rutin yang selalu saya amalkan dalam pembelajaran iaitu sentiasa membuat latihan daripada buku rujukan dan tutorial kerana latihan ini akan meningkatkan keyakinan kita untuk menjawab peperiksaan. Selain itu saya mengulang kaji soalan peperiksaan pada tahun-tahun lepas kerana kemungkinan soalan peperiksaan akan berulang semula. Juga jangan lupa rajinkan diri untuk meminta tip-tip dari senior. Risik tentang cara mengajar pensyarah sekali, ini kerana lain pensyarah lain cara mengajarnya. Dari situ kita boleh bersedia dengan lebih awal,” katanya.

Menurut Amir lagi, antara rahsia kecemerlangannya adalah sentiasa jaga ‘carry mark’. Sebaiknya ambil tahu lebih awal kerana ‘carry mark’ ini banyak menyelamatkan pointer akhir. Selain itu belajar setiap minggu. Sebelum memulakan minggu baharu, pastikan sudah belajar topik pada minggu sebelumnya. Sekiranya ada ujian dan kuiz sekalipun sudah bersedia dari awal.

“Penting juga untuk kita tahu cara mana yang paling berkesan dan senang belajar supaya lebih mudah faham. Kalau jenis kinestetik, saya syorkan banyak buat latihan dan kalau visual, tengok video pembelajaran di Youtube tentang topik itu. Biasanya saya lakukan kedua-dua cara ini untuk memaksimumkan prestasi pembelajaran saya,” katanya lagi.

BIJAK BAHAGIKAN MASA AKTIVITI LUAR KAMPUS

Akui Amir sebagai mahasiswa yang aktif dalam bidang kesukarelawan di kampusnya, dia perlu bijak membahagikan masa. Biasanya aktiviti sukarelawan tidak melibatkan waktu kelas dan ini membolehkan Amir melakukan aktiviti itu selepas tamat kelas. Paling penting katanya, semasa di dalam kelas, fokus pada pembelajaran yang diajar pensyarah.

“Selain tumpuan pada belajar, aktiviti luar kampus juga penting, misalnya penglibatan dalam sukarelawan. Ini kerana ia bukan sahaja mengajar kita untuk jadi sukarelawan dan membantu orang lain tetapi juga mengajar kita untuk menguruskan program di samping mengasah kemahiran kepimpinan dan mengukuh sifat empati serta sumbangan kita kepada masyarakat,” katanya yang lebih gemar belajar secara individu kerana berasakan lebih selesa untuk belajar mengikut rentaknya sendiri. Pun begitu tetap akan berbincang bersama kawan-kawan sekiranya ada perkara yang tidak difahami.

CABARAN MASA

Bagi Nur Naziehah Nahar Azli pula, biarpun dihambat kesibukan dan kepadatan jadual namun ia bukanlah penghalang untuknya bergelar antara pelajar cemerlang di kampusnya iaitu Universiti Utara Malaysia (UUM). Pelajar semester ke tujuh dalam jurusan Sarjana Muda Falsafah, Undang-undang dan Perniagaan dengan kepujian ini memperoleh pointer cemerlang pada setiap semester iaitu, semester 1: 3.81, semester 2: 3.98, semester 3: 3.72, semester 4: 3.87, semester 5: 3.93 dan semester 6: 3.81. Hebatkan!

“Masa bukanlah suatu isu, kerana bagi saya di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Saya akan pastikan ada satu slot untuk hiburan (bagi menghilangkan tekanan) tetapi sekiranya terlalu sibuk, saya akan dahulukan yang lebih penting,” katanya yang banyak terlibat dalam aktiviti luar kampus seperti projek Enactus, iaitu program khidmat bakti kepada penduduk di Kedah dan Perlis, Co&Coal, projek tukarkan tempurung kelapa kepada arang, anjurkan kelas keusahawanan kepada pelajar sekolah menengah dan sebagainya.

Jelas Naziehah lagi, cabaran utama mahasiswa kini adalah pembahagian masa. Justeru, walau sesibuk mana pun pelajaran harus diutamakan, namun jangan pula mengabaikan aktiviti luar kampus. Ini kerana melalui penglibatan luar kampus akan membantu meningkatkan kemahiran insaniah seperti kemahiran berkomunikasi, sikap kepimpinan dan sebagainya selain dapat menjadikan seseorang itu menonjol dari yang lain.

“Pada saya, setiap mahasiswa perlu ada keseimbangan antara aktiviti luar kampus dan pelajaran. Jangan sesekali berasa takut untuk libatkan diri dalam aktiviti luar dan jangan pula disebabkan terlalu aktif sehingga melupakan pelajaran,” katanya lagi.

FOKUS DALAM KELAS

Lebih gemar mengulang kaji pelajaran secara individu, Naziehah ada sebabnya yang tersendiri. “Ini kerana saya seorang yang gemar bercakap. Kalau berkumpulan sudah pasti akan ada kecenderungan untuk bersembang. Tetapi sekiranya ada perkara yang saya kurang jelas, saya akan bertanya kepada kawan-kawan dan kami akan adakan perbincangan.

“Disebabkan saya selalu berhadapan kekangan masa, jadi apa yang saya lakukan adalah dengan memastikan saya fokus dalam kelas terutama subjek falsafah kerana ia memerlukan pemahaman yang konteks. Malah jika ada perkara yang kurang jelas, saya akan bertanya terus kepada pensyarah.

“Selain itu disebabkan penilaian di universiti bukan sahaja peperiksaan, tetapi mengambil kira tugasan dan penglibatan dalam bilik kuliah, jadi saya akan buat yang terbaik dalam setiap tugasan yang diberikan di samping belajar bersungguh-sungguh bagi peperiksaan,” katanya.