Tahniah kepada anda yang berjaya mendaftar sebagai pelajar baharu di universiti dan kini bergelar mahasiswa. Menjadi hasrat semua pelajar masuk ke universiti mengambil jurusan diminati dan keluar sebagai graduan yang cemerlang selepas 3 atau 4 tahun pengajian. Namun, dalam memburu kejayaan ini, pastinya akan menempuh cabaran yang bukan sedikit. Ada yang berjaya dan ada juga yang kecundang.

Rata-rata pelajar baharu berada dalam lingkungan umur 18-19 tahun. Mereka berada dalam peringkat akhir remaja. Zaman remaja dikatakan tempoh yang penuh dengan krisis identiti dan mereka mencari-cari landasan untuk menjadi individu matang sebagai persiapan sebagai seorang dewasa. Dalam era transisi ini, sebahagian remaja mudah terdedah dengan pelbagai pengaruh luar seperti media sosial, budaya, rakan sebaya dan paling dibimbangkan mudah terjebak masalah sosial.

Menurut Ketua Pusat Kerjaya dan Kaunseling, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Mohamed Soder Rahmad, sememangnya kawan merupakan rukun dalam kehidupan seseorang di semua zaman. Dari kita kanak-kanak hinggalah kita lanjut usia.

"Tanpa kawan seolah-olah tiada kehidupan atau mungkin kurang makna dalam kehidupan. Kawan membentuk lingkungan sosial yang membolehkan kita berinteraksi, berkomunikasi, berkongsi perasaan, kasih sayang, maklumat, pandangan, nilai, kepercayaan serta menjadi sumber inspirasi dan motivasi," katanya.

Bagi mereka yang mempunyai tret personaliti extrovert tambahnya, mereka dalam kebanyakan masa dan situasi mendapat sumber tenaga dan motivasi dari interaksi dengan kawan-kawan. Dalam hal ini kawan ibarat nyawa kedua mereka. Sebaliknya, bagi yang introvert pula, mereka mendapat sumber tenaga dan motivasi dari dalam diri sendiri dan dalam banyak situasi mereka cuba mengelakkan diri dari berinteraksi dengan orang lain.

HARUS BIJAK PILIH KAWAN

"Dari sudut psikologi, kawan mempunyai pengaruh yang sangat besar dan signifikan dalam mencorakkan kehidupan seseorang. Pengaruh ini boleh berbentuk positif atau negatif. Kecenderungan kita untuk meniru atau mengikut pola pemikiran dan tingkah laku kawan memang sangat tinggi kerana di sana wujud unsur kepercayaan dan penerimaan yang ditawarkan oleh kawan melalui interaksi kita dengan mereka.

"Anda harus bijak dalam memilih kawan kerana tersilap memilih kawan, kita yang akan menanggung padahnya. Jika baik kawan kita, ada kecenderungan untuk kita menjadi baik. Jika jahat kawan kita, ada kecenderungan kita menjadi jahat. Ada kawan kita yang masuk universiti, memang tidak menghisap rokok dari zaman sekolah lagi, tetapi apabila berkawan dengan kawan-kawan yang menghisap rokok, akhirnya dia menghisap rokok juga. Lebih buruk lagi apabila dia terlibat dengan penagihan dadah dan akhirnya dibuang dari universiti.

"Terdapat juga kawan kita yang masuk universiti tidak berapa pandai membaca Quran, solat pun tak cukup tetapi apabila sering berkawan dengan kawan-kawan yang rajin baca Quran dan solat, akhirnya dia pandai baca Quran dan rajin solat. Lebih memeranjatkan lagi, sekarang dia mengajar orang lain pula mengaji Quran," jelasnya.

Begitu juga dalam hal akademik. Menurutnya, jika suka berkawan dengan mereka yang rajin belajar, rajin berdiskusi, rajin pergi perpustakaan, rajin jumpa pensyarah, rajin buat ulang kaji dan sekiranya tabiat ini berterusan, anda sebenarnya sudah membuka lorong untuk cemerlang dalam pengajian.

Dalam menjalin hubungan dengan kawan, kita harus sentiasa memprogramkan minda kita dengan perkara-perkara yang positif sahaja. Gambar sekadar hiasan.

 

"Sebaliknya jika anda suka berkawan dengan mereka yang rajin ponteng kuliah, rajin main games, rajin bersembang, rajin buang masa di luar kampus dengan aktiviti yang kurang berfaedah, rajin tangguh tugasan pensyarah, rajin menonton video, rajin melayani media sosial, anda sebenarnya sedang membuka lorong untuk kecundang dalam pengajian dan mungkin kehidupan. Anda datang ke universiti dengan harapan tetapi pulang dengan kegagalan.

"Kita adalah apa yang kita fikirkan. Dalam menjalin hubungan dengan kawan, kita harus sentiasa memprogramkan minda kita dengan perkara-perkara yang positif sahaja. Itulah jalan yang paling selamat," nasihatnya.

Antara faktor menyebabkan pelajar mudah terpengaruh dengan kawan yang negatif ketika berada dalam alam kampus universiti ialah;

* Kurang pengetahuan dan penghayatan amalan kerohanian/agama dalam kehidupan seharian

* Tidak mempunyai prinsip hidup yang jelas

* Suka mencuba perkara baharu berasaskan keseronokan sementara

* Mudah terpengaruh ajakan dan pujukan rakan sebaya kerana bimbang kehilangan kawan

* Tidak menetapkan matlamat yang jelas dari segi pencapaian akademik, kerjaya dan keunggulan personaliti

* Mempunyai hubungan yang kurang baik dengan ibu bapa dan ahli keluarga

* Kurang kemahiran berfikir secara kritikal dan analitikal