SETIAP  orang mempunyai impian masing-masing. Sama juga bagi Nur Fatin Abdul Rahman, siswi Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Kesusasteraan Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi).

Menurut Nur Fatin, memilih jurusan ini pertamanya kerana minat selain menganggap sastera adalah sebahagian kehidupan.

"Minat berbahasa, berimaginasi dan minat untuk 'memanusiakan' manusia. Minat untuk memberi manfaat pada sekeliling dgn bahasa dan sastera. Dengan sastera, hati manusia boleh dihidupkan semula," kata Nur Fatin yang menerima dorongan daripada guru subjek Kesusasteraan Melayu ketika di Tingkatan Enam dan juga kawan baik di SMK Arshad, Suziela Salleh, berfalsafah.

Nur Fatin yang turut aktif berpersatuan sejak dari semester satu lagi juga tidak akan lupa pengalaman menjadi pengarah teater Jali yang berjaya 'pecah panggung' di Upsi.

Barisan Majlis Tertinggi Kelab Penulisan Kreatif dan Deskriptif Sidang 2018/2019. Foto: Nur Fatin

 

"Ini sewaktu di semester tiga dalam kursus Drama dan Amali Seni Lakon. Kursus ini antara cabaran paling besar bagi saya sebagai pengarah, walaupun saya mengambil majoring sastera dan minor bahasa Melayu, tapi kami didedahkan dengan satu kursus yang agak baru, tambahan pula saya tiada asas dalam bidang pengarahan. Selama empat bulan lebih, banyak saya belajar tentang pengarahan dan ketua," ujarnya yang turut menyifatkan selain tumpuan utama kepada pengajian, pembabitan dalam berpersatuan sama ada kesukarelawanan mahupun kokurikulum adalah sebagai satu 'laluan' memantapkan diri sebagai pemimpin.

"Saya menyukai bidang kepimpinan!" tegasnya yang juga merupakan anggota Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Upsi berpangkat Pembantu Pegawai Rendah Kanan (SSUO).

Turut aktif dalam Palapes Upsi.Foto: Nur Fatin

"Walaupun sentiasa berdepan kekangan masa dan tekanan dengan aktiviti-aktiviti disertai, tetapi bagi saya kesibukan ini akan mengajar saya untuk menghargai waktu. Bila terlibat dengan aktiviti luar seperti kesukarelawanan di Sabah, saya letakkan pada diri saya satu konsep, 'be ummatik'. Dengan kata lain, hidup saya untuk masyarakat. Tidak kira apa jua bidang pilihan, yang penting, ia sesuatu yang mendatangkan kebaikan kepada diri. Alhamdulillah, saya mendapat sokongan daripada keluarga terutama ibu, ayah dan datuk," katanya.

BELAJAR CARA KONSEP BERKAMPUNG

Bagi Nur Fatin juga, sebagai pelajar paling penting dalam hidup ialah meletakkan matlamat diri.

"Apa yang kita mahukan dalam hidup, kita cari jalan untuk capai. Jalan pula kenalah betul. Alhamdulillah, sepanjang proses pembelajaran saya di Upsi, selama empat semester saya masih mendapat Anugerah Dekan dan tersenarai pelajar first class," katanya sambil berkongsi tip mudah dalam menguruskan diri bergelar pelajar.

"Cari kawan yang boleh dipercayai. Saya sentiasa ingatkan kawan-kawan, sekiranya ada kerja yang perlu dibuat, ingatkan saya banyak kali. Saya juga amalkan ulang kaji study group atau konsep 'berkampung' apabila tiba hari peperiksaan. Saya dan kawan-kawan akan belajar bersama menggunakan konsep 'pengagihan tugas'. Walaupun berlainan negeri, tapi kami bersatu demi mencapai kecemerlangan akademik. Alhamdulillah, mereka juga adalah kawan yang cemerlang dalam pelajaran sehingga sekarang dan juga bergiat aktif seperti saya," ujarnya sambil berkongsi sepotong ayat yang juga kegemaran para sahabat (Rasulullah SAW) sebagai motivasi diri.

"Apa yang kita ada, kita jaga baik-baik." Maksudnya, apabila ALLAH memberi ruang dan peluang, dalam setiap perkara hargai dan cuba laksanakan apa juga sekalipun dengan baik."

PROFIL

Nama penuh: Nur Fatin Abdul Rahman

Asal: Kota Belud, Sabah

Umur: 22 tahun

Adik-beradik: 3 beradik - anak sulung

Pendidikan awal (sekolah rendah/menengah):

- SK Timbang Dayang, Kota Belud, Sabah

- SMK Usukan, Kota Belud, Sabah

- SMK Arshad, Kota Belud, Sabah

Penglibatan/pencapaian:

- Sem 1/2: Persatuan Anak Negeri (Exco Kebajikan) Iksas Upsi

- Sem 2/3: Exco Sumber Manusia Kelab Pustaka dan AJK Blok E bagi Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki

- Sem 5/6: Naib Yang Dipertua Kelab Kreatif dan Deskriptif Upsi

- Sem 3: Pengarah teater Jali

- Wakil Upsi ke Himpunan Mahasiswa Sastera Asean (Himsas) 2018 yang turut disertai wakil dari Thailand dan Indonesia

- Menyertai Deklamasi Puisi Kebangsaan 2018

- Persatuan Duta Universiti (sebagai fasilitator semasa di semester 1)