MINAT Nur Maisarah Tahir, 21, terhadap jurusan Pembangunan Sumber Manusia telah lahir sejak belajar di Matrikulasi lagi kerana kerja pengurusan yang melibatkan ramai orang dan memerlukan organizing skills merupakan kesukaannya.

Justeru, menurut pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Pembangunan Sumber Manusia di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai yang berpegang kepada motto 'Kurangkan kontroversi, tingkatkan prestasi' ini, penglibatan dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTM dan pelbagai aktiviti di universiti memberinya banyak pengalaman bagi memenuhi kriteria jurusan berkenaan.

“Dalam jurusan ini, kami perlu membuat latihan pekerja di tempat kerja, saya suka menguruskan program latihan ini dan melibatkan diri dengan orang ramai semasa program latihan,” kata anak kelahiran Johor Bahru itu.

Terpilih sebagai Calon Umum dalam Pilihan Raya Kampus (PRK) UTM pada tahun ini merupakan salah satu pengalaman manis buatnya.

“Sebelum ini, sudah lima tahun tiada PRK di UTM, dan buat pertama kalinya, PRK dibuat semula pada tahun ini. Pengalaman berkempen telah memberikan saya satu semangat baru dan memperoleh kepercayaan daripada mahasiswa kerana bertanding dan menang secara adil,” kata Exco Jabatan Perpaduan dan Penerangan Informasi MPP tersebut.

AKTIVITI DALAM DAN LUAR NEGARA

Program Australia Cultural and Technology Exchange anjuran MPP UTM 17-18.

Selain itu, dia turut diberi peluang menjadi Majlis Tertinggi bagi program terbesar di UTM iaitu Festival Konvokesyen ke-61 UTM yang berlangsung pada 10 hingga 17 November ini.

“Menjadi Majlis Tertinggi bagi program ini membolehkan saya menguasai ilmu berprogram impak tinggi dan mencipta memori yang baru kerana perlu bermesyuarat dengan rakan-rakan sehingga pagi hari, membincangkan penyelesaian bagi masalah bersama-sama, membuat publisiti di pelbagai tempat termasuklah stesen radio dengan niat untuk menjayakan program ini,” katanya.

Penglibatan Maisarah dalam pelbagai program kebudayaan sejak dari sekolah telah memberi banyak pengalaman kepadanya. “Saya telah membuat persembahan tarian tradisional di Korea dan Turki, dan juga pernah muncul dalam rancangan ‘Dengan Inovasi Yo’ di TV3 iaitu satu rancangan yang memaparkan pelbagai inovasi termasuklah tarian,” ujarnya.

Sangat suka cabaran, pengalaman baharu dan memperbanyakkan kenalan, Maisarah telah menyertai MPP UTM dan telah terlibat dalam pelbagai aktiviti di dalam dan di luar negara.

“Sebagai MPP, saya telah dapat menyertai pelbagai jenis program yang mengutamakan kebajikan mahasiswa seperti Townhall Mahasiswa dan Parlimen Mahasiswa yang buat julung kalinya diadakan di UTM.

“Saya juga telah terlibat dengan program delegasi bersama universiti-universiti lain serta persidangan, dan telah terlibat dengan Australia Cultural & Technology Exchange anjuran MPP UTM di mana buat pertama kalinya MPP UTM pergi ke luar negara,” katanya lagi.

AGIH MASA SECARA SISTEMATIK

Belajar sambil bergiat dengan aktiviti di luar kelas merupakan satu perkara yang amat sukar kerana perlu bijak mengimbangkan masa untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pelajar dan beraktiviti. Namun, ianya tidak menjadi masalah buat Maisarah kerana dia berjaya mengagihkan masanya secara sistematik.

Program pengantarabangsaan di Korea.

“Selalunya, saya akan sibuk pada waktu malam dengan mesyuarat atau kerja-kerja program, jadi lepas sahaja buat kerja-kerja program saya akan korbankan satu jam atau dua jam untuk membuat kerja kursus atau ulang kaji, khususnya kalau ada kuiz atau test pada keesokan harinya. Kalau terlalu penat, saya akan tidur dahulu dan bangun dalam pukul 4.00 pagi untuk buat kerja atau ulang kaji,” terang Maisarah lagi.

Akhir sekali, Maisarah berpesan kepada para mahasiswa agar lebih berani menghadapi cabaran dan keluar dari takuk yang lama supaya dapat memajukan negara Malaysia bersama-sama. “Dengan zaman yang lebih maju ini, mahasiswa perlu merebut peluang, bukannya menunggu peluang.

“Selain itu, saya tahu anak-anak muda sekarang banyak menggunakan kata-kata carutan tidak kira di mana sahaja. Maka, saya ingin memberi peringatan agar kita kekalkan budi bahasa kerana bahasa juga mencerminkan peribadi kita agar tidak menjadi ikutan generasi selepas kita,” ucap Maisarah.

PROFIL

Nama penuh: Nur Maisarah Tahir

Adik-beradik: Anak bongsu daripada 5 beradik

Pendidikan:

- Sekolah rendah: Sekolah Kebangsaan (P) Sultan Ibrahim, Johor Bahru (2004-2009)

- Sekolah Menengah: SMK Sultan Ismail, Johor Bahru (2010-2014)

- Kolej Matrikulasi Johor (2015)

- Kini di UTM Skudai Sarjana Muda Sains (Pembangunan Sumber Manusia)

Pencapaian:

- Pertukaran Budaya Ke Korea (sebagai penari)

- Pertukaran Budaya Ke Turki (program anak angkat/sebagai penari)

- Australia Cultural & Technology Exchange (sebagai Ketua Unit Protokol)

- Delegasi ke National University of Singapore (wakil MPP)