DALAM satu ruangan penulisan #MalaysiaMembaca di dalam akhbar Sinar Harian hasil tulisan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik baru-baru ini telah menyuarakan pendapatnya bahawa di era Malaysia Baharu ini mahasiswa perlu diberi kuasa untuk menguruskan Pilihan Raya Kampus (PRK) mereka sendiri.

Ini kerana selama ini PRK diuruskan oleh Hal Ehwal Pelajar setiap universiti. Tujuannya ialah supaya dapat menyuburkan kembali aspirasi politik di kampus.

Ternyata saranan ini turut mendapat respons daripada Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia, Muhammad Luqman Jamalil Idrus. Katanya,  “mahasiswa pada hari ini mampu untuk menguruskan PRK mereka sendiri. Ini kerana pada tahun ini kami telah sama-sama turut serta dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), yang mana telah melahirkan Malaysia Baharu pada hari ini”.

Tambahnya lagi, keterlibatan mahasiswa secara langsung dalam PRU-14 yang lalu, sedikit sebanyak telah memberi keyakinan bahawa mahasiswa pada hari ini sedar akan kepentingan kepada proses demokrasi yang adil dan telus bagi mendapatkan hasil yang baik.

“Jika ditanya mampukah mahasiswa menguruskan PRK mereka sendiri, jawapan saya “kami bersedia melaksanakannya”. Untuk pengetahuan, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) atau Student Union merupakan badan yang bertanggungjawab menjaga dan menguruskan kebajikan pelajar dan bukan sekadar itu sahaja, Menteri Pendidikan juga telah menzahirkan hasrat beliau agar skop MPP diperluaskan di mana fungsikan akan lebih besar dan membolehkan pelajar sendiri menguruskan pelajar seperti peranan HEP sekarang,” katanya.

Muhammad Luqman

Untuk melahirkan para pemimpin masa depan yang berintegriti, mahasiswa perlu melibatkan diri secara terus terhadap sesuatu proses  penting supaya mereka faham erti ‘telus’.

“Zaman universiti adalah zaman di mana mahasiswa belajar apakah yang bakal mereka hadapi pada masa akan datang. Dengan menguruskan PRK sendiri pasti akan mengajar mereka apakah nilai demokrasi yang telus dan adil yang bakal mereka sendiri corakkan.

“Saya tidak menyatakan bahawa PMPP sebelum ini yang diuruskan  oleh HEP ada berlaku penyelewengan, akan tetapi tanggungjawab tersebut bakal dipikul oleh mahasiswa sendiri pada kali ini,” katanya.

Akui Luqman, tanggungjawab ini bukan mudah untuk dilaksanakan, dengan pelaksanaan pengurusan PRK kali ini oleh mahasiswa sendiri akan menguji tahap integriti mereka dalam menjalankan amanah dan kepercayaan yang telah dipertanggungjawabkan oleh Menteri Pendidikan dengan baik dan penuh amanah.

Perlukan bimbingan

Ditanya, apakah kemungkinan risiko yang akan terjadi sementelah pula ia merupakan pertama kali dilaksanakan  dan pastinya akan berlaku sedikit sebanyak kepincangan? Jelas Luqman PRK yang akan dilaksanakan pada kali ini akan memberi sedikit cabaran kepada mahasiswa kerana mereka perlu melaksanakan sesuatu yang belum pernah dibuat sendiri pada tahun-tahun sebelumnya.

“Saya mencadangkan untuk pertama kali pelaksanaan oleh pelajar sendiri ini, kita perlu menjalankan sistem ‘hybrid’ di mana pihak HEP sebagai pemudah cara kepada para pelajar untuk memberikan bimbingan kepada mereka sebagaimana proses pelaksanaan PMPP sebelum ini dibuat bagi membolehkan para pelajar mendapatkan gambaran yang jelas tentang sesuatu proses PRK dijalankan.

“Ini kerana sekiranya pelajar tidak mendapatkan khidmat nasihat serta pandangan daripada pihak HEP pasti akan menyukarkan  PRK dilaksanakan pada kali ini. Selain itu pihak HEP juga boleh mengaturkan kursus yang sewajarnya kepada para sekretariat yang bakal mengelola PRK ini.

“HEP akan menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pemudah cara bagi memudahkan para pelajar 'menguruskan' proses PRK di kampus masig-masing agar berjalan dengan lancar,” katanya lagi.

Tunda PRK bagi ruang kepada calon

PRK kali ini adalah berbeza berbanding PMPP yang pernah dilaksanakan pada tahun-tahun sebelumnya. Ini kerana Dr Maszlee Malik ada menyatakan sebagai langkah pertama, semua universiti perlu menunda PRK lewat dari kebiasaan bagi memberikan ruang memperkenalkan calon serta mengamalkan demokrasi politik yang matang.

“Pada pandangan saya, pendekatan yang diambil oleh Menteri Pendidikan dengan menyarankan agar PRK tersebut ditunda merupakan tindakan yang tepat kerana pihak kementerian sedar akan proses transisi yang bakal berlaku pada PRK  kali ini yang akan diuruskan sepenuhnya oleh pelajar universiti masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, calon-calon yang bakal bertanding juga akan mempunyai masa yang mencukupi bagi menyiapkan diri mereka  untuk berkempen bagi memenangi hati rakan-rakan  dalam membawa pandangan dan isu-isu di peringkat universiti untuk diambil perhatian oleh pengurusan.

Selain itu dalam menghadapi bahang PRK di kampus masing-masing, calon bertanding perlu sedar akan isu-isu diketengahkan dan manifesto-manifesto yang dijanjikan  merupakan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

“Usahakan sehabis baik untuk merealisasikan perkara tersebut. Kematangan politik harus dipertonjolkan, bukan lagi isu-isu memperlekehkan lawan yang dilaungkan, akan tetapi apa yang boleh disumbangkan kepada mahasiswa bagi menyiapkan diri mereka menghadapi kehidupan sebenar selepas tamat bergraduasi nanti adalah merukan perkara pokok yang perlu diambil perhatiaan oleh setiap calon,” katanya.