KESATUAN pelajar atau Students' Union, adalah sebahagian daripada aspirasi Kementerian Pendidikan terhadap perjalanan reformasi institusi pendidikan tinggi.

Selain pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), pengembalian kuasa pelajar untuk menguruskan Pilihan Raya Kampus (PRK) mereka sendiri, serta pengembalian hak kebebasan bersuara dan kebebasan pelajar untuk menyertai mana-mana parti politik, mewarnakan kehidupan aktivisme mahasiswa melalui penubuhan Kesatuan Pelajar juga merupakan aspirasi yang sangat penting untuk dilaksanakan.

Kesatuan Pelajar ini penting sebagai nadi ekosistem universiti bagi melahirkan graduan yang dewasa, matang, berdikari, dan yang paling penting, bersedia untuk mengemudi perubahan.

Bagi Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, jika dilihat, Kesatuan Pelajar ini tiada di Malaysia itu sendiri, namun ia banyak dipraktikkan di luar negara.

Pertukaran idea sesama mahasiswa menerusi kesatuan pelajar.

Katanya, ia begitu meluas di negara barat terutamanya di negara-negara seperti Amerika Syarikat, England dan lain-lain yang menjurus kepada satu bangunan atau aset yang dipenuhi dengan pelbagai aktiviti yang dijalankan oleh pelajar itu sendiri.

Menurutnya, apa yang dihasratkan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik apabila mahu melihat Kesatuan Pelajar itu ada di Malaysia dengan mengambil 'the spirit of students' union' itu sendiri.

"Kita juga menggalakkan golongan mahasiswa ini boleh berdikari... berdiri di atas kaki sendiri dan tidak begitu mengharapkan bantuan serta sokongan universiti untuk merealisasikan sesuatu agenda.

"Sebagai contoh, jika mahasiswa mahu membuat satu program besar yang melibatkan sama ada masyarakat tempatan, kerajaan negeri atau negara, mereka boleh mengusahakannya sendiri kerana mereka rasa mampu berdikari dan tidak perlu mohon dana daripada universiti, minta itu dan ini. Mereka telah diberikan satu autonomi menguruskan semua itu, tetapi berdasarkan kepada peraturan-peraturan universiti yang ada," katanya.

Dr Mohammad Shatar berkata, secara tidak langsung, kemahiran abad ke-21 yang disebut-sebut pada hari ini dapat meningkatkan kemahiran tersebut dalam diri mereka apabila mengambil semangat Kesatuan Pelajar itu sendiri.

Mahasiswa perlu matang dan tidak beremosi

Namun begitu, katanya, untuk membolehkan pelajar mengendalikan program sedemikan rupa, mereka perlu mempunyai pemikiran yang matang dan bersikap profesional untuk menjalankan sebarang program.

Mahasiswa tidak boleh beremosi berlebihan selain profesional dan mampu menghadapi pelbagai jenis dugaan termasuk perkara yang tidak dirancang sama sekali.

"Jika kita lihat hari ini, mahasiswa mahu buat tetapi mereka tidak sanggup berhadapan dengan benda-benda yang tidak pasti,hal kecemasan dan sebagainya.

"Itu yang menyebabkan mereka bergantung kepada universiti masing-masing atau hal ehwal pelajar itu sendiri," katanya.

Jelas Dr Mohammad Shatar, dasar kerajaan baharu mahu menggalakkan mahasiswa itu berdikari, maka wajar untuk pihak universiti membenarkan  mereka melaksanakan sedemikan kerana suka atau tidak, ia adalah realiti yang dikehendaki oleh majikan pada masa hadapan.

Beliau juga berpendapat, ini sesuatu yang bagus namun proses mentransformasikan manusia bukan hanya mengambil masa satu atau dua bulan, tetapi mengambil masa yang agak lama untuk melakukan sesuatu perubahan.

"Sebaik-baiknya, kita perlu mula dari sekarang dan sokongan perlu diberi oleh semua pihak terutamanya pihak universiti dan masyarakat.

"Saya minta orang luar jangan begitu cepat menghukum sekiranya ada perkara luar biasa berlaku. Jika pihak kerajaan sahaja yang bersungguh dan tiada sokongan daripada masyarakat, saya pasti ia sukar untuk dilaksanakan. Mungkin bagi mahasiswa yang

baru bertatih untuk menjalankannya, pasti ada berlaku kesilapan. Jadi, kita harus menyokong dan memberi semangat kepada mereka untuk hasil dan kesan jangka masa panjang," katanya.

Upsi juga bersedia

Katanya, pihaknya juga bersedia ke arah itu apabila mahasiswa keluaran Upsi mula menyuntik elemen-elemen sedemikan yang menjadi inisiatif apabila memperkenalkan konsep 2A. Menurutnya, pihaknya mengharapkan pelajar Upsi bukan sahaja cemerlang di dalam bidang akademik, malahan cemerlang dari segi akhlak serta norma kehidupan.

Jelasnya, pihaknya mahu melahirkan guru bukan hanya hebat intelektual sahaja, bahkan berbudi bahasa dan tinggi akhlaknya kerana mereka adalah model kepada masyarakat.

"Kita mahu mereka ini berakhlak mulia dan baik nilainya supaya masyarakat atau pelajar rasa seronok menjadi ikutan mengikut mereka.

"Dalam masa sama, kita rasakan buat masa ini, mahasiswa tidak hanya bergantung kepada akdemik dan mereka perlu ada elemen tambahan yang mana ia sebenarnya diacukan kepada generasi kita yang memberi nilai tambah pada abad ke-21,"katanya.