ORANG selalu berputus asa kerana tidak faham, sedangkan kerana tidak fahamlah mereka perlu duduk belajar.’ - Amirrosyadie. Kata-kata ini dipetik daripada status Instagram pemilik nama lengkap Amir Firdaus Eddy Rosyadie, 21, penuntut tahun ketiga Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Malaya (UM).

Ternyata, ia bukan sekadar status ‘biasa’ sebaliknya itulah gambaran diri Amir Firdaus yang tidak pernah menyerah kalah dalam mengejar impian sama ada dalam akademik mahupun kurikulum sehingga melayakkannya menerima dua anugerah berprestij; Anugerah Ikon Akademik Universiti Malaya 2018 (Anugerah Khas) dan Anugerah Perdana Siswa Hal Ehwal Pelajar & Alumni Universiti Malaya 2018 (Anugerah Perdana) baru-baru ini.

Mewakili Malaysia ke International Chemistry Olympiad 2016 di Georgia. Foto: Koleksi Amir Firdaus

 

Kesungguhannya baik dalam akademik, kesukarelawan mahupun kepimpinan tidak perlu dipertikaikan, lantaran anak kedua daripada tiga beradik ini sejak dari awal pengajian di universiti terunggul ini sudah menunjukkan kecenderungan dan kecemerlangan dalam bidang-bidang berkaitan.

Dalam akademik, Amir Firdaus memilih jurusan kejuruteraan kerana percaya, Malaysia dan seluruh dunia juga sekarang ini berkembang dengan pesat dari segi teknologi dan kejuruteraannya.

“Misalnya, peralihan kepada Industri Revolusi 4.0, maka tenaga pakar dan kebolehan jurutera ini sangat diperlukan pada masa kini dan akan datang,” tegasnya.

Tiga kali mendapat Anugerah Dekan, bukanlah sesuatu yang mudah bagi penuntut jurusan kejuruteraan, sementelahan lagi pada masa sama turut aktif dalam pelbagai aktiviti kokurikulum lain.

Mengasah skil kepimpinan

Sebagaimana fokusnya dalam akademik, komitmennya dalam kurikulum khususnya kesukarelawanan juga tinggi.

“Bagi saya, aktiviti sukarelawan banyak mengajar kita perkara baharu dan memberi pengalaman yang kita tidak pernah alami di kelas mahupun kehidupan seharian. Lagipun, melalui aktiviti ini, saya juga dapat mengasah skil kepimpinan saya dalam cara berkomunikasi, mengurus ahli jawatankuasa dan sebagainya. Sekretariat Sukarelawan Universiti Malaya (SEKRUM) sudah menjadi seolah-olah sebahagian daripada keluarga saya di sini,” terangnya yang mula terlibat dengan aktiviti sukarelawan sejak dari sekolah menengah melalui Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM).

“Apabila di universiti, saya lihat aktiviti sukarelawan ini sebenarnya lebih luas lagi. Ini yang membuatkan saya ingin mendalami makna menjadi seorang sukarelawan yang membantu diri sendiri dan juga orang lain yang memerlukan. SEKRUM menjadi platform saya sejak tahun pertama dan alhamdulillah saya berjaya menempa nama ke peringkat antarabangsa,” tambahnya.

Bagi Amir Firdaus, kelebihan menyertai kesukarelawanan bukan sahaja akan kenal ramai orang dan pelbagai ragam manusia tetapi pada masa sama juga melatih diri berfikiran terbuka, ikhlas dan bertanggungjawab untuk membantu komuniti setempat.

Amir Firdaus. Foto: Koleksi Amir Firdaus

 

“Bukan ganjaran yang kita kejar, sebaliknya kebahagiaan kita sendiri dan orang lain,” katanya.

Pun begitu, akui Amir Firdaus lagi, tidak dinafikan, dalam setiap yang dilalui ada pelbagai pengalaman harus didepani apatah lagi sebagai pemimpin.

Ujarnya, percanggahan pendapat, arahan saat-saat akhir dan terpaksa melaksanakan bukan tugasan diri sudah menjadi kebiasaan.

“Maklumlah, sebagai pelajar masing-masing ada komitmennya. Saya perlu bertolak ansur apabila berada dalam organisasi. Yang penting, apabila buat tugasan bersama-sama, yang berat akan menjadi ringan. Kadangkala ada yang menangis kerana bebanan kerja dilakukan, jadi kita saling memberi sokongan moral. Kebiasaannya selepas habis program, saya dan rakan-rakan beramai-ramai ke restoran untuk menyambut kejayaan program tersebut. Memang seronok!,” katanya lagi.

Manfaat masa sebaik mungkin

Berkongsi pembahagian masa antara akademik dan aktiviti kurikulum, bagi Amir Firdaus, masa itu emas. Justeru, dia akan memastikan dirinya memanfaatkan masa sebaik mungkin.

“Ketika kelas, fokus dan belajar bersungguh-sungguh. Sekiranya tidak faham, terus bertanya pensyarah semasa atau selepas kelas. Apabila ada masa lapang, saya gunakannya untuk menyiapkan tugasan, tutorial atau assignment mengikut To-Do List saya. Saya lebih mementingkan kelajuan menyiapkan tugasan berbanding berlengah-lengah hanya sebab perkara-perkara yang remeh.

“Teruskan belajar, jangan pernah menyerah kalah. Tidak perlu membuktikan sesuatu kejayaan terlalu awal, kerana setiap daripada kita ada naik dan turunnya sendiri. Bersabar dan teruskan usaha, kejayaan pasti akan jadi milik kita suatu hari nanti,” tegasnya berkongsi motivasi kehidupan.

PROFIL

Nama penuh: Amir Firdaus Eddy Rosyadie

Pendidikan sekarang:

Tahun ketiga Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, UM

Pencapaian

- Anugerah Utama – Anugerah Perdana Siswa Hal Ehwal Pelajar & Alumni Universiti Malaya 2018

- Anugerah Khas – Anugerah Ikon Akademik Universiti Malaya 2018

- Mewakili Malaysia ke International Chemistry Olympiad 2016 di Georgia

- Asia Science Camp 2016 di India – penerima anugerah Nobel membentangkan kajian mereka tentang Sains

- International Grand Challenges Scholar Program, Hong Kong

- Operasi Belia Prihatin (Orbit), Thailand

- Misi Sukarelawan Yayasan Sukarelawan Siswa - Green Summer Volunteer Campaign (GSVC) Vietnam 2018