PROGRAM latihan industri tidak asing lagi kepada mahasiswa yang mengikuti program diploma mahupun ijazah sarjana muda di institusi pengajian tinggi. Ia merupakan fasa yang sangat signifikan kepada mahasiswa bagi mendapatkan gambaran sebenar dunia pekerjaan. Panduan berikut boleh membantu mahasiswa sebelum memulakan langkah ke program latihan industri.

1) Dekati dan kenali penyelaras program latihan industri.

Ia penting untuk mendapatkan maklumat-maklumat berkaitan dengan jelas dan tepat. Mahasiswa juga perlu mengetahui kelayakan dan syarat-syarat ditetapkan pihak fakulti dalam memastikan mereka boleh lulus cemerlang. Mahasiswa juga perlulah jelas bermula dengan proses pendaftaran sehinggalah penghantaran buku laporan latihan industri.

2) Pilihlah syarikat yang mempunyai latar belakang dan rekod pencapaian cemerlang.

Elakkan daripada memilih syarikat-syarikat berskala kecil atau yang baharu beroperasi kerana dikhuatiri ia tidak dapat menawarkan tugasan bersesuaian bidang atau program. Dengan kata lain, mahasiswa tidak dapat memperoleh apa-apa ilmu tambahan atau pengalaman.

3) Persediaan mental dan fizikal.

Otak dan badan kena sentiasa cergas untuk berdepan sebarang tugasan yang bakal diamanahkan pihak syarikat. Kebiasaannya syarikat-syarikat akan meletakkan harapan tinggi kepada mahasiswa untuk menyelesaikan tugasan diberikan dengan idea luar biasa.

4) Sikap mahasiswa perlu positif dan meyakinkan.  

Setiap syarikat-syarikat yang menjalankan operasi berteraskan keuntungan kebiasaannya meletakkan sikap sebagai asas utama. Sikap yang positif, berdikari dan boleh bekerjasama dalam kumpulan amat diperlukan dalam sepanjang tempoh mahasiswa menjalani latihan industri.

5) Tingkatkan kemahiran sedia ada.

Mahasiswa perlu memastikan kemahiran-kemahiran mereka dalam menggunakan perisian-perisian tertentu (sebagai contoh: Microsoft Office, Adobe, AutoCAD, Revitt, Microsoft Projects) terus dipertingkatkan lagi kerana inilah yang menjadi teras utama penilaian prestasi dalam perlaksanaan sesuatu tugasan yang diberikan.

6) Pengetahuan asas perlu mantap.

Ilmu asas yang diperoleh dalam kuliah tidak mencukupi untuk menyelesaikan tugasan atau masalah semasa menjalani latihan industri, Oleh itu, mahasiswa perlulah teroka cabang-cabang ilmu yang lain tanpa batasan selain daripada rajin bertanya tanpa rasa segan dalam diri.

7) Disiplin diri.

Masa adalah sangat berharga dalam menjalankan perniagaan. Oleh itu mahasiswa perlulah mematuhi masa ditetapkan pihak syarikat/majikan dalam menyiapkan tugasan diberikan. Jangan sesekali ponteng tanpa sebarang alasan munasabah.

8) Jaga keselamatan jasmani dan rohani.

Dengan mengambil kira mahasiswa akan melakukan tugasan secara realiti, adalah tidak mustahil untuk mereka terdedah dengan pelbagai bahaya sama ada di makmal, di tapak projek mahupun di pejabat. Mahasiswa juga perlu mengelakkan diri dari terjebak perkara-perkara memalukan dan boleh merosakkan maruah diri. Jaga pakaian sepanjang menjalani latihan industri.

9) Bina reputasi diri yang mantap.

Mahasiswa yang berpeluang dan diterima menjalankan latihan industri di sesebuah syarikat berprestij, perlulah memastikan pencapaian mereka cemerlang dalam konteks kerja, produk dan idea dihasilkan. Apa yang penting ia mestilah dapat membantu meningkatkan prestasi syarikat. Adalah tidak mustahil mahasiswa sebegini ditawarkan terus untuk bekerja sepenuh masa dengan gaji lumayan.

Dr. Md. Asrul Nasid Masrom
Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Alumni dan Latihan Industri, UTHM