Transisi dari zaman sekolah ke era kampus, dari zaman 'mentah' ke permulaan dewasa menjadikan seseorang mudah terdedah dan terpengaruh dengan persekitaran termasuk dalam berkawan.

Tip berikut boleh dijadikan panduan oleh pelajar baharu dalam rangka untuk menjadi pelajar cemerlang dan membina jalinan hubungan yang positif dengan kawan:

1. Pilih kawan yang baik

Sifat remaja memang sukakan ramai kawan kerana pengiktirafan rakan sebaya amat penting dalam proses kematangan diri. Kelompok kawan atau rakan ini akan membentuk sub-budaya yang akan mempengaruhi cara kita berfikir, bertindak, berinteraksi dan bersosial. Dalam hal ini, anda perlu bijak dalam memilih kawan. Cari kawan yang boleh dijadikan sahabat baik, yang sentiasa mendorong kita untuk lebih berjaya dan menjadi insan yang baik. Walaupun ada sebahagian rakan kita semasa di sekolah dianggap sebagai ‘budak baik’ tetapi apabila menikmati sedikit kebebasan di universiti dan tersalah pilih kawan, ramai juga yang terjerumus dengan aktiviti yang negatif dan merosakkan masa depan mereka.

2. Bina prinsip hidup yang jelas

Ada orang yang mengatur kehidupannya berdasarkan prinsip dan ada orang yang mengatur kehidupannya berdasarkan persekitaran. Jika anda orang yang berpegang teguh dengan prinsip kehidupan yang jelas, anda percaya dan yakin untuk apa hidup dan ke mana akhir kehidupan ini, anda akan sentiasa berada dalam landasan yang betul. Lebih-lebih lagi jika prinsip kehidupan ini berasaskan nilai agama. Dalam hal ini anda akan sentiasa berhati-hati dalam memilih kawan supaya mereka tidak merosakkan pegangan prinsip hidup anda. Orang yang kehidupannya berasaskan persekitaran akan sentiasa terdedah dengan pengaruh persekitaran terutama pengaruh rakan sebaya.

3. Bina konsep kendiri yang positif

Konsep kendiri adalah penilaian seseorang ke atas dirinya sendiri atau bagaimana ia menganggap tentang dirinya sendiri sama ada secara positif atau negatif. Ia berkait rapat dengan perasaan kita terhadap kebolehan kita. Jika kita melihat diri kita secara negatif, kita akan tidak yakin dengan kemampuan diri sendiri dan ini akan mendedahkan diri kita dengan pengaruh kawan. Sebaliknya jika kita melihat diri kita secara positif, kita akan lebih yakin dengan diri sendiri dan berusaha mengatasi kekurangan yang ada dengan cara yang positif. Untuk membina konsep kendiri yang positif anda perlu latih minda anda berfikir secara positif dan berada dalam lingkungan sosial yang positif.

Mohamed Sober Rahmad

 

4. Latih diri berfikir secara kritikal dan analitikal

Jika kita tidak mempunyai kemahiran berfikir secara kritikal dan analitikal pada tahap tinggi, kita akan mudah terpengaruh dengan unsur luar termasuk kawan. Kita malas berfikir, lantas kita ikut sahaja pola pemikiran orang lain. Apa sahaja perkara atau unsur luar yang datang dalam kehidupan kita, lihat dan fikir secara kritikal dan analitikal. Lihat dari berbagai sudut dan perspektif, apa baik dan buruknya, apa kesannya. Jika kita ada maklumat yang sedikit tentangnya, cari maklumat dari sumber lain atau rujuk pakar lain, buat pertimbangan yang rasional dan objektif, barulah boleh buat keputusan.

5. Amalkan tabiat asertif

Apabila kita berkomunikasi dengan orang lain, adakalanya kita menampilkan tingkah laku asertif, pasif atau agresif. Kita akan lebih selamat dari pengaruh orang lain jika kita sentiasa bertindak secara asertif iaitu kita menyatakan ketegasan pendirian kita secara terus terang tanpa menyentuh perasaan dan hak orang lain. Jika kita kata tak hendak, kita tegas dengan pendirian kita. Tidak ada siapa yang boleh mempengaruhi kita kerana itu adalah pendirian kita, keyakinan kita, cara kita. Jika kita agresif, nanti ada orang sakit hati. Jika kita pasif, kita memberi ruang untuk orang lain menguasai diri kita.

6. Wujudkan rangkaian sahabat baik melalui media sosial

Anda sekarang berada dalam dunia digital. Wujudkan rangkaian sahabat baik melalui media sosial seperti WhatsApp Group mengaji Quran, AJK Persatuan, Tugasan Kumpulan dan lain-lain di mana anda menghimpunkan sahabat-sahabat baik yang saling bantu membantu, dorong mendorong dan tegur menegur ke arah kebaikan bersama.

7. Programkan minda anda

Sebenarnya minda kita boleh diprogramkan. Kita ada minda sedar dan minda bawah sedar. Semua tindakan kita seharian adalah berdasarkan program yang sudah ada dalam minda bawah sedar yang berstatus kepercayaan atau keyakinan. Jika anda diminta untuk makan batu, anda tentu menolaknya kerana ada program dalam minda bawah sedar anda yang menjelaskan batu tidak boleh dimakan, anda benar-benar meyakini batu tidak boleh dimakan. Jika unsur pengaruh kawan anda itu bersifat 'batu', mengapa mesti anda terima, mengapa mesti anda telan. Anda terima kerana anda telah mengubah program 'batu' dalam minda anda. Maksudnya kita yang mempunyai kuasa untuk memprogramkan minda kita, bukan kawan kita. Kita adalah apa yang kita fikir. Dalam menjalin hubungan dengan kawan, kita harus sentiasa memprogramkan minda kita dengan perkara-perkara yang positif sahaja. Itulah jalan yang paling selamat.

*Penulis merupakan Ketua Pusat Kerjaya dan Kaunseling, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam dan juga penceramah motivasi/kaunseling berdaftar