KUALA LUMPUR - Seorang wanita warga emas maut selepas dipercayai  terjatuh lalu terhantuk ke dinding ketika bertengkar dengan seorang lagi wanita di pangsapurinya di Kepong, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah berkata, polis yang menerima panggilan kira-kira 9.50 pagi bergegas ke tingkat lima pangsapuri berkenaan dan mendapati mangsa, 65 tahun dalam keadaan terbaring dan berdarah di bahagian kepala di anjung rumahnya.

Beliau berkata, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Selayang.

"Siasatan awal mendapati telah berlaku pertengkaran dan tolak-menolak antara suspek berusia 60 tahun dengan mangsa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shanmugamoorthy berkata pihaknya telah menahan suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Katanya, polis kini sedang menyiasat hubungan antara suspek dan mangsa serta tujuan suspek berada di rumah berkenaan ketika kejadian. - Bernama