JOHOR BAHRU - Polis memaklumkan kejadian kanak-kanak hilang yang didakwa dilarikan penjenayah di Pusat Beli Belah, Paradigm Mall, di sini, semalam adalah tidak benar.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, pihaknya juga tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu.

Namun, katanya, berdasarkan rakaman video yang tular di laman sosial, semakan telah dilakukan dan polis mendapati kejadian itu hanya melibatkan kanak-kanak hilang di sebuah kedai dalam pusat beli belah berkenaan.

“Kes ini tidak benar (kanak-kanak dilarikan), kita juga tidak menerima sebarang laporan berhubung perkara ini.

“Cuma dari semakan, kami dapati itu hanya hilang dalam pusat beli belah berkenaan, dan telah ditemui semula 15 minit kemudiannya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Taib turut memberi saranan agar orang ramai tidak mudah percaya serta menularkan berita tidak pasti kesahihannya.

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi 51 saat tular di laman sosial yang memaparkan seorang lelaki dipercayai bapa kanak-kanak terbabit menjerit mahu orang ramai membantunya mencari anaknya yang hilang.

Menerusi video itu, lelaki berkenaan turut meminta pengawal keselamatan pusat beli belah itu menunjukkan semua rakaman kamera litar tertutup untuk mengesan anaknya itu.