KUANTAN - Polis menahan empat lelaki yang disyaki terbabit dalam kes samun yang menggunakan parang terhadap seorang wanita di sebuah stesen minyak di Jalan Pintasan Kuantan pada 8 November lepas.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, suspek pertama ditahan di kawasan Balok di sini pada 9 Disember lepas sebelum diikuti dengan penahanan tiga lagi rakannya di kawasan yang sama sehari kemudian.

“Hasil penahanan itu, polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenis iPhone 8 Plus milik mangsa, sebuah kereta jenis Produa Viva yang digunakan suspek, sebilah parang, sebatang cota, dan pakaian yang digunakan suspek ketika kejadian

Kesemua suspek yang berumur antara 23 hingga 28 tahun itu, mengaku melakukan jenayah itu dan hasil ujian air kencing yang dijalankan mendapati mereka juga positif dadah,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontijen Pahang di sini hari ini..

Suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan menggunakan senjata yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian pada 1.20 pagi 8 Nov lepas, seorang wanita berusia 21 tahun disamun oleh dua lelaki bersenjatakan parang sebaik memasuki kereta selepas mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Jalan Pintasan, di sini.

Dalam perkembangan lain, polis berjaya menumpaskan ‘Geng Tatoo’ yang aktif dalam kegiatan kegiatan pecah premis perniagaan dan bilik asrama di sekitar Kuantan dengan penahanan enam orang termasuk tiga wanita dengan salah seorang daripadanya merupakan warga Thailand.

“Tiga suspek pertama iaitu dua lelaki dan seorang wanita ditahan pada 5 Dis lalu di sebuah restoran di Taman Wahyu, Kuala Lumpur dan susulan itu polis berjaya menahan seorang lagi lelaki  dan dua wanita termasuk seorang wanita warganegara Thailand di sekitar bandar Kuantan pada 6 Dis hingga 8 Dis lalu.

Polis turut merampas wang tunai sebanyak RM516, 24 buah telefon bimbit, sebuah kereta Perodua Axia, satu kunci kereta, sebuah komputer riba, sebuah tab, satu set pembesar suara, dua utas jam tangan, dan sebuah peti besi,” katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kesemua suspek yang berusia antara 17 hingga 33 tahun dipercayai terlibat dengan tujuh kes pecah premis melibatkan kerugian bernilai RM70,000.

Katanya empat suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine dan seorang suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau dan berada dalam senarai dikehendaki polis.

Mereka kini masih ditahan reman bagi membantu kes mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. - Bernama