KUANTAN - Polis berjaya menyelamatkan seorang lelaki selepas diculik enam individu ketika berada di rumahnya  di sebuah tanah rancangan Felda di Maran, 10 Disember lalu.

Mangsa berusia 41 tahun itu ditemui dalam keadaan terikat dan dikurung dalam sebuah rumah di Pasir Mas, Kelantan, Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Othman Nanyan berkata, susulan itu, pihaknya turut menahan enam suspek berusia 30 hingga 60 tahun bagi membantu siasatan.

Menurutnya, suspek dipercayai dilarikan ekoran masalah hutang jual beli baja berjumlah RM45,000.

“Difahamkan, mangsa menjadi orang tengah dalam jual beli itu dan gagal menjelaskan baki hutang itu daripada jumlah keseluruhan mencecah RM 126,000.

‘Mangsa dilarikan suspek menaiki sebuah kereta jenis Perodua Myvi kira-kira jam 11 malam 10 Disember lalu dan kejadian disedari isterinya lalu membuat laporan polis,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Othman berkata, susulan laporan dibuat wanita berusia 41 tahun itu, pihaknya melakukan siasatan dan berjaya mengesan suspek dan tempat mangsa dikurung.

“Ketika ditemui, mangsa mengalami kecederaan ringan di beberapa bahagian badan dan pergelangan tangan kesan diikat.

“Susulan itu, kita berjaya mengesan semua suspek dan tangkapan dilakukan secara berasingan,” katanya.

Menurutnya, mangsa dihantar ke hospital untuk pemeriksaan manakala suspek dibawa ke sini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan

“Hasil siasatan kita dapati semua suspek yang ditahan memainkan peranan dalam kes tersebut di mana empat daripada mereka didapati melarikan mangsa, seorang bantu sembunyikan dan seorang lagi membenarkan rumah dijadikan tempat kurungan mangsa,” katanya.