GOMBAK - Polis merampas tiga pucuk senjata tiruan dengan puluhan paket dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Lee Kim Sai, Rawang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, serbuan dilakukan kira-kira jam 12.30 tengah hari hasil maklumat dan risikan.

Menurutnya, pemeriksaan di bilik kediaman tersebut menjumpai sepucuk pistol angin, dua pucuk pistol tiruan serta 32 paket plastik lutsinar mengandungi kristal disyaki dadah jenis syabu dianggar bernilai RM1,600.

“Polis kemudian menahan seorang lelaki berusia 32 tahun di rumah terbabit.

“Suspek yang bekerja sebagai mekanik ini disyaki menjadi pengedar secara kecil-kecilan di sekitar kawasan Batu Arang dan Rawang sejak tahun lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek ini mempunyai tiga rekod jenayah lampau dan empat rekod dadah.

Katanya, siasatan masih dijalankan dan pihaknya percaya senjata tiruan ini digunakan suspek untuk melakukan jenayah.

“Suspek yang dikesan positif syabu ini telah direman lima hari sehingga Isnin depan. kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Justeru, beliau meminta masyarakat untuk bekerjasama dan membantu polis dengan menyalurkan maklumat mengenai penyalahgunaan dadah atau perlakuan jenayah.