SHAH ALAM - Polis sedang giat mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kematian pengurus bar yang diserang sekumpulan lelaki bersenjata parang dan kayu di hadapan sebuah pub di 8th Avenue, Petaling Jaya, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, lelaki ini dikenali A Ragu berusia 27 tahun beralamat Taman Dato Hormat, Telok Panglima Garang, Banting.

"Individu ini dipercayai ahli geng 08 Spider Banting.

"Lelaki ini dipercayai terlibat dalam beberapa kes jenayah kekerasan sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sebelum ini, individu ini pernah ditahan dan disiasat

mengikut prosedur Akta Keselamatan (Langkah -langkah Khas) 2012 (Sosma) untuk tindakan dibawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, terdapat perubahan pertuduhan dan individu tersebut hanya dituduh dibawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 pada 16 November lalu dan dijamin sebanyak RM3,500, tarikh perbicaraan lanjut adalah pada 8 April depan.

Ppolis ingin meminta bantuan orang ramai untuk memberikan maklumat bagi mengesan individu ini untuk membantu siasatan.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 6.35 pagi, seorang lelaki meninggal dunia selepas diserang sekumpulan lelaki bersenjata parang dan kayu di lokasi kejadian.

"Susulan itu, seramai lima individu telah ditahan dan kesemua mereka telah direman tujuh hari bermula hari ini," katanya.