KUANTAN - Bimbang akan ditahan akibat melanggar orang lain sehingga mati, seorang  guru wanita mengalami kerugian RM14,000 selepas memindahkan wang berkenaan kononnya untuk menyelesaikan kes itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintendan, Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa, 44, yang mengajar di sebuah sekolah di Bukit Goh menerima panggilan daripada suspek yang memperkenalkan diri sebagai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar pada Sabtu lepas.

“Suspek kemudian telah mendakwa mangsa melanggar seorang individu di Seri Kembangan baru-baru ini sehingga menyebabkan kematian bagaimanapun mangsa telah menafikannya.

Talian mangsa kemudian telah disambungkan kepada suspek kedua yang menyamar sebagai pegawai polis dari Seri Kembangan yang mendakwa pula mangsa mempunyai waran tangkap bagi kes penipuan,” katanya  kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, mangsa yang ketakutan kemudiannya telah membayar wang jaminan sebanyak RM14,000 melalui tiga  transaksi seperti yang diminta suspek ke dalam akaun yang diberikan.

Mangsa hanya menyedari ditipu selepas suspek mendesak meminta wang tambahan, sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan. - Bernama