BAYAN BARU - Seorang lelaki ditahan oleh pengawal keselamatan sebuah pasaraya terkenal di sini selepas didapati mencuri kereta mainan di premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, lelaki berusia 33 tahun itu didapati mencuri 14 buah kereta mainan di sebuah pasaraya di Queensbay petang tadi.

Menurutnya, suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu mencuri kereta mainan itu untuk membeli bekalan dadah.

"Suspek dikesan melakukan kesalahan itu di bahagian alat permainan dalam pasaraya itu oleh pihak atasan. Hasil pemerhatian pengawal keselamatan, suspek yang dalam keadaan mencurigakan telah memasukkan beberapa kotak barangan ke dalam beg sandangnya.

"Pengawal keselamatan kemudiannya mengekori dan menahan suspek lalu memeriksa begnya. Suspek didapati mengambil 14 kotak mengandungi kereta mainan tanpa membuat bayaran di kaunter," katanya ketika dihubungi tadi.

Tambahnya, kerugian dianggarkan bernilai RM378.50 dan suspek mempunyai empat kesalahan lampau melibatkan dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.