JOHOR BAHRU – Sepasang suami dan isteri ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kematian seorang kanak-kanak lelaki 5 tahun,  semalam, selepas disyaki menjadi mangsa dera.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Supritendan Mohd Afzanizam Yahaya berkata, perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret bermula hari ini.

“Permohonan reman ke atas kedua-dua suspek diluluskan bermula 27 Disember ini hingga 2 Januari depan oleh Mahkamah Majistret untuk membantu siasatan lanjut berhubung kes berkenaan,” katanya.

Semalam dilaporkan kanak-kanak lelaki berkenaan meninggal dunia selepas disyaki menjadi mangsa dera ibu tirinya di rumah mereka di Bandar Dato Onn, di sini.

Mangsa sebelum itu dipercayai pengsan ketika dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini, bagaimanapun disahkan meninggal dunia di wad kecemasan hospital berkenaan.

Mohd Afzanizam berkata, pihaknya menerima laporan kes daripada doktor yang bertugas di hospital berkenaan kira-kira jam 12.50 tengah malam selepas mangsa dihantar dalam keadaan tidak sedar diri dan terdapat kesan lebam serta bengkak pada bahagian kanan muka, dada, perut dan kedua-dua betis.

“Doktor telah menjalankan bedah siasat ke atas mayat mangsa dan punca kematian adalah Blunt Force To The Abdomen.

“Susulan itu, ibu tiri mangsa yang berusia 23 tahun dan merupakan warga Indonesia serta bapa mangsa yang berumur 33 tahun ditahan di rumah mereka bagi siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaaan kerana menyebabkan kematian dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati.