KUALA LUMPUR - Polis sedang meneliti lebih lanjut video kejadian rusuhan hingga menyebabkan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, bagi mengesan mana-mana individu bagi mendapatkan gambaran lebih jelas tentang kejadian terbabit.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, setakat ini seramai 108 orang telah ditahan.

Menurutnya, polis juga telah merekodkan keterangan daripada 38 individu.

"Kita masih lagi dalam tindakan mengesan individu lain yang kita percaya dapat membantu siasatan selain meneliti video rakaman kejadian dengan lebih terperinci.

"Ini bagi mengenal pasti mana-mana orang yang akan dipanggil untuk dirakam keterangan untuk polis mendapatkan gambaran lebih jelas tentang kejadian yang berlaku," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Noor Rashid berkata, pihaknya akan melengkapkan siasatan dalam masa terdekat.

Mengulas tentang terdapat segelintir netizen yang cuba membakar api perkauman melalui media sosial susulan kematian Muhammad Adib, beliau berkata, usah cuba membuat hasutan atau menimbulkan kemarahan mana-mana pihak sehingga boleh menjejaskan keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Katanya, sesiapa sahaja yang menularkan isu-isu sensitif berbaur perkauman perlu bertanggungjawab dengan tindakan yang dilakukan itu.

"Jika dikesan ada unsur yang menyalahi undang-undang, tindakan sewajarnya akan diambil termasuk memulakan siasatan dan tangkapan," katanya.

Dalam pada itu, berkenaan perhimpunan yang dijangka diadakan di pekan Klang oleh pihak badan bukan kerajaan (NGO), Jumaat ini, Noor Rashid berkata, penganjur perlu patuhi undang-undang yang ada iaitu Akta Perhimpunan Aman.

"Penganjur perlu serahkan notis dengan mematuhi akta selain memastikan isu sensitif tidak ditonjolkan dalam himpunan hingga menyebabkan ketidakpuasan hati pihak lain," katanya.

Jelasnya, menjaga keselamatan dan ketenteraman ini adalah tanggungjawab bersama.

Terdahulu, Muhammad Adib yang parah dipukul sekumpulan perusuh di hadapan kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya dilapor meninggal dunia 9.41, kelmarin.

Polis kemudian telah mengklasifikasikan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.