JELAPANG -  Nota ugutan 'nyawa terakhir' yang diterima seorang lelaki bergelar Datuk rupa-rupanya membawa kepada tindakan nekad dua lelaki bermotosikal melepaskan tembakan tepat ke arah bahagian pemandu kenderaannya di Taman Meru 2B, hari ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian pada jam 6.56 pagi itu, mangsa berusia 50 tahun terselamat apabila dia berada di restoran berhampiran untuk bersarapan.

Mangsa yang juga pemilik sebuah kedai dobi menerima nota yang diselitkan di cermin hadapan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mitsubishi Outlander selepas menunaikan solat Subuh di surau berhampiran.

Satu das tembakan dilepaskan oleh dua suspek terbabit setelah menghampiri kenderaan mangsa yang diletakkan di hadapan restoran berkenaan.

Difahamkan, mangsa pernah menerima dua kali nota ugutan dengan meminta wang sejumlah RM3 juta.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby mengesahkan kejadian itu dan siasatan masih diteruskan.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh dan Sesyen 385 kanun sama kerana melakukan pemerasan," katanya.