BUKIT KAYU HITAM - Seorang suri rumah warganegara Thailand ditahan selepas cuba menyeludup dadah jenis methamphetamine seberat 2.20 kilogram, di lokasi pemeriksaan penumpang, Jabatan Kastam Diraja Malaysia( JKDM) di sini, Ahad lalu.

Pengarah Kastam negeri Kedah, Datuk Johari Alifiah berkata, kejadian berlaku kira- kira jam 1.24 petang ketika pegawai kastam melakukan pemeriksaan ke atas sebuah bagasi berwarna hitam yang melalui mesin pengimbas bagasi laluan pejalan kaki.

Katanya, imbasan mesin berkenaan merakamkan imej yang meragukan iaitu dua bungkusan berbalut pita pelekat berwarna coklat yang dilitupi oleh kertas keras berwarna kelabu di bahagian dalam di tepi kedua-dua belah bagasi tersebut.

"Pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan berkenaan mengandungi serbuk kristal berwarna putih disyaki methamphetamine yang dianggarkan bernilai kira-kira RM121,000," katanya pada sidang media di cawangan Pengurusan Sumber Manusia Aras 1 Blok C Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam,di sini hari ini.

Menurutnya, siasatan awal juga mendapati wanita itu memulakan perjalanannya dari Bangkok, kemudian ke Hatyai sebelum masuk ke negara ini.

"Malah, berdasarkan rekod dalam pasport miliknya, ini merupakan kali pertama perjalanan dia ke Malaysia.

"Bagaimanapun kita masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenalpasti sama ada pihak lain turut terlibat dalam kes ini," katanya.

Katanya, wanita berkenaan ditahan reman selama 11 hari sehingga 27 Disember depan dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati.

"JKDM memberi amaran keras dan peringatan kepada mana-mana pihak mahupun individu yang cuba menyeludup barang larangan yang melanggar undang-undang Malaysia terutamanya peruntukan yang ditetapkan di bawah Akta Kastam 1967.

"Kami juga mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang sentiasa memberikan kerjasama dalam menyalurkan maklumat dalam mencegah penyeludupan. Sebarang maklumat boleh disalurkan melalui talian hotline 1 800 888 855," katanya.