SERDANG - Tindakan sindiket perjudian atas talian yang berselindung di sebalik kawasan perumahan elit di sini, terbongkar apabila markas sindiket itu diserbu polis petang tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata dalam serbuan jam 4.10 petang itu, pihaknya berjaya menahan 32 warga China termasuk tiga wanita yang dipercayai mangsa pemerdagangan orang.

"Kesemua mereka yang ditahan berusia antara 20 dan 52 tahun yang dipercayai dipaksa menjadi pengendali permainan judi atas talian itu.

"Kita juga merampas beberapa peralatan yang digunakan bagi kegiatan itu seperti beberapa telefon bimbit serta 16 set komputer dan tiga modem," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi serbuan itu di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan lanjut mendapati sindiket ini menjadikan banglo mewah empat tingkat ini sebagai pusat operasi dan asrama bagi pekerja.

"Siasatan kita mendapati sindiket yang telah beroperasi hampir sebulan itu menyasarkan pemain judi dari luar negara terutamanya dari Hong Kong, China dan Taiwan.

"Sepanjang sindiket ini beroperasi, mereka telah menerima petaruhan berjumlah RM15 juta," katanya.

Fadzil berkata serbuan itu turut membawa kepada penemuan dua lelaki warga China berusia lingkungan 20-an dalam sebuah bilik di tingkat empat banglo itu dalam keadaan beberapa anggota badan cedera akibat didera selain kaki mereka turut diikat.

"Siasatan awal mendapati mereka dipercayai telah ditawarkan pekerjaan di negara ini namun ditipu dan dipaksa menjadi operator perjudian atas talian," katanya.

Tambah Fadzil, pihaknya akan menjalankan siasatan mengesan ketua sindiket, pemilik banglo dan sesiapa sahaja yang terlibat dalam operasi perjudian atas talian itu.

Kes disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007. - Bernama