KUALA TERENGGANU - Polis tidak menafikan peningkatan luar biasa kes jenayah terutamanya pecah rumah dan kecurian pada musim banjir di daerah ini berbanding pada hari-hari biasa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, biasanya jenayah-jenayah ini dilapor berlaku melibatkan kediaman mangsa banjir.

Susulan itu, orang ramai terutamanya mangsa banjir dinasihatkan agar memastikan rumah yang hendak ditinggalkan sementara waktu itu dalam keadaan berkunci sempurna.

"Selain itu, mereka yang terlibat terutamanya bagi mangsa banjir yang akan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara, perlu memaklumkan terlebih dahulu ke Balai Polis berhampiran.

"Ini bagi memudahkan pihak berkuasa menjalankan pemantauan keselamatan sepanjang ketiadaan mereka untuk memastikan kejadian tidak diingini berlaku," katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sekolah Kebangsaan Chendering, di sini hari ini.

Suffian berkata, sepanjang musim banjir ini, pihaknya juga mengambil pendekatan melakukan kekerapan rondaan dan pemantauan keselamatan di rumah mangsa banjir yang ditinggalkan.

"Kita akan melihat keadaan semasa rumah-rumah mangsa banjir ini, jika lokasi berhampiran sungai atau parit tali air, sehingga menyebabkan kenderaan darat tidak boleh lalu, kami akan gunakan kemudahan bot yang disediakan.

"Jadi, walau apa jua situasi tidak menjadi halangan buat kami untuk tidak melakukan rondaan dan pemantauan bagi memastikan keselamatan kediaman mangsa banjir lebih terjamin," katanya.