KUANTAN - Hasrat seorang pengasuh untuk memulakan perniagaan sendiri tidak kesampaian apabila diperdayakan syarikat pemberi pinjaman kewangan tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia 34 tahun dari Lipis, dekat sini mendakwa syarikat itu mengiklankan perkhidmatannya di laman sosial Facebook.

Mangsa yang berhasrat meminjam wang sebanyak RM5,000 telah mengisi borang lengkap dengan butiran peribadinya pada 5.25 petang 3 Disember lepas, sebelum dihubungi 'wakil' syarikat itu selang lima minit kemudian.  

"Suspek wanita yang menghubungi mangsa menawarkan pinjaman seperti jumlah yang diminta dengan bayaran bulanan RM165 selama 36 bulan yang dipersetujui mangsa.

"Mangsa bagaimanapun dimaklumkan perlu membuat bayaran pendahuluan atas pelbagai alasan, yang kononnya akan dipulangkan semasa suspek ke Lipis bagi menyerahkan dokumen perjanjian pinjaman," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir menambah akibat mempercayai suspek, mangsa telah membuat enam transaksi pemindahan wang ke dalam empat akaun berbeza antara 13 Disember sehingga semalam, yang kesemuanya berjumlah RM4,320.

Mangsa bagaimanapun enggan membuat bayaran seterusnya apabila suspek sekali lagi meminta bayaran RM2,000 semalam, sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis kerana berasa ditipu.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.- Bernama