KUANTAN - Polis Pahang berjaya menumpaskan Geng Estima Hitam yang disyaki terlibat dalam jenayah kes pecah rumah, curi dan melarikan kenderaaan ekoran tertangkapnya tiga anggota geng itu di Rantau Panjang, Kelantan, 4 Disember lalu.

Susulan penahan suspek berusia 28 hingga 39 tahun itu, polis percaya berjaya menyelesaikan 11 kes didalangi kumplan sama termasuk empat kes di Pahang, empat kes di Johor, dua kes di Melaka dan satu kes di Negeri Sembilan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Othman Nanyan berkata, pihaknya turut merampas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima yang digunakan selain dua kenderaan curi jenis Mercedes Benz dan Toyota Avanza.

Menurutnya, turut dirampas wang tunai RM8,010, mata wang Thailand 14, 120 baht, sejumlah barang kemas, jam tangan, telefon bimbit, cemin mata, kunci kereta dan beberapa barangan lain disyaki hasil kegiatan tersebut.

“Penahanan suspek berasal dari Johor dan Perak itu susulan tiga laporan polis dibuat tiga mangsa di daerah ini 16 November lalu.

“Dalam kejadian itu tiga mangsa di Lorong Seri Teruntum, Lorong Alor Akar dan Jalan Tok Gajah di sini kerugian RM150,000 selepas kediaman mereka dipecah masuk suspek antara jam 12.30 tengahari hingga 3.30 petang hari yang sama.

“Salah seorang mangsa turut kehilangan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mazda X5 dipercayai dilarikan suspek berkenaan,” katanya pada sidang media berhubung kejayaan itu di sini, hari ini.

Othman berkata, susulan maklumat dan risikan pihaknya, suspek berjaya dikesan di Rantau Panjang sebelum serbuan dilakukan dengan bantuan Unit Risikan Sempadan (URS) Bukit Aman.

“Hasil siasatan ke atas suspek mendapati mereka mengaku terlibat dalam 11 kes berkenaan.

“Kita juga percaya mereka turut terlibat dalam kes yang dilaporkan di Rompin sebelum ini,”katanya.

Beliau berkata, suspek kini ditahan reman dan polis hampir menyelesaikan kertas siasatan bagi mendakwa suspek.

“Kita juga akan merujuk suspek kepada polis kontijen yang terlibat untuk siasatan bagi kes di negeri berkenaan,” katanya.