SEPANG - Pergaduhan di sebuah bengkel di Taman Putra Perdana, Puchong semalam bukan disebabkan isu perkauman sebaliknya caj baiki kereta yang dikenakan tidak munasabah.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, pemilik Perodua Alza ke bengkel tersebut jam 3 petang semalam untuk melihat keretanya yang ditunda ke sana sejak Rabu lalu.

Menurutnya, lelaki tersebut melihat ada individu bertindak mengeluarkan bateri keretanya dan meminta pemilik bengkel tersebut ke lokasi.

"Pemilik bengkel meminta mangsa menjelaskan kos upah RM410 dan tambahan RM200 kerana perlu bekerja pada hari Ahad jika mahu mengambil keretanya.

"Pergaduhan berterusan selepas pemilik bengkel itu bertindak menyerang mangsa menggunakan parang dan pemadam api.

"Mangsa yang alami cedera ringan sempat melarikan diri," katanya pada sidang media, hari ini.

Insiden tersebut tular di Facebook sejak awal pagi ini menyaksikan tindakan seorang lelaki menggunakan parang bertindak memecahkan sebuah kenderaan di hadapan bengkel itu.

Susulan kejadian tersebut katanya, dua pemilik bengkel ditahan kerana bertindak menyerang mangsa menggunakan senjata tajam

"Kejadian turut menarik perhatian orang awam yang masuk campur selepas tidak berpuas hati suspek mengeluarkan kata berunsur perkauman.

"Suspek bertindak menguncikan diri dalam bengkel dan menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 148 kerana merusuh dan suspek ditahan tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan negatif dadah.