KUANTAN - Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk kerugian lebih RM100,000 selepas rumahnya dirompak dua lelaki  pada 6 Disember lalu.

Mangsa yang enggan dikenali berumur 31 tahun berkata, lebih mengejutkan suspek merupakan bekas pengawal peribadi mangsa.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa sedari kejadian pada Rabu lalu ketika pulang mahu melihat keadaan rumahnya  di Damansara, Kuantan setelah dua bulan berada di Kuala Lumpur.

"Hasil rakaman daripada sistem kamera litar tertutup (CCTV), saya dapati kedua-dua suspek berhenti di hadapan rumah saya sebelum mereka memecah masuk dengan cara memanjat pagar dan mengumpil pintu.

"Apa yang mengejutkan saya, berdasarkan susuk badan hasil rakaman CCTV suspek sebenarnya merupakan bekas pengawal peribadi saya yang telah berhenti kerja tiga bulan lalu.

"Kedua-dua mereka berumur 20-an sebelum ini telah berkhidmat hampir tiga tahun dengan kami sekeluarga," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam pada itu, mangsa yang juga merupakan seorang pengerusi sebuah NGO berkata, kereta Porsche yang ditinggalkan di garaj rumah turut dirosakkan selepas dipercayai cuba dilarikan tetapi gagal, malah tiga CCTV yang berada di hadapan dan dalam rumah turut dirosakkan untuk mengelak perbuatan mereka dirakam.

"Barangan berharga milik saya yang lain  turut dilarikan termasuk sebuah telefon bimbit serta 15 utas jam berjenama mengakibatkan belaiu mengalami kerugian lebih RM100,000," katanya.

Berikutan itu, isteri ahli perniagaan berkenaan telah membuat laporan polis Khamis lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan berhubung kejadian itu.