BAYAN BARU - Seorang pekerja kilang dicekup selepas didapati mencuri 11 jenis barangan kosmetik di sebuah pasaraya di sini, dua hari lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, lelaki berusia 31 tahun itu mencuri kesemua barangan kosmetik terbabit untuk dijadikan hadiah kepada isterinya sempena perayaan Krismas pada Selasa ini.

Menurutnya, lelaki yang berasal dari Lebuh Mahsuri itu ditahan pengawal keselamatan Pasaraya Sunshine pada jam 8.45 malam, Jumaat lalu.

"Pada hari kejadian, pihak atasan mendapati seorang lelaki yang membawa sebuah beg dalam keadaan mencurigakan di pintu tingkat bawah. Selepas memberitahu kepada pengawal keselamatan, pemeriksaan ke atas suspek telah dibuat.

"Didapati 11 jenis barangan kosmetik di dalam beg suspek dan suspek gagal mengemukakan resit pembelian. Suspek kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi semalam.

Anbalagan berkata, ujian saringan dadah suspek negatif dan tidak mempunyai kesalahan jenayah lampau.

"Kerugian melibatkan RM314.36 dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

"Suspek direman sehingga esok untuk siasatan lanjut. Kes dianggap selesai dengan tertangkapnya suspek," katanya.