BUTTERWORTH - Mayat seorang lelaki ditemukan dengan beberapa kesan kelar dan tikaman di badan serta leher dipercayai dibunuh sebelum dibuang ke dalam longkang di Jalan Bunga Raya Merah Satu, Raja Uda di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner, Noorzainy Mohd Noor berkata, mayat Ong Bak Ho, 47, ditemukan dalam longkang besar yang berair tetapi cetek oleh orang ramai yang melalui kawasan itu pada pukul 10.48 pagi ini.

"Mayat ditemukan dalam keadaan terlentang dengan sebahagian badan terendam di dalam air kecuali bahagian muka dan tangan kanan, berdasarkan kepada keadaan mayat, mangsa dipercayai telah dibunuh dalam tempoh tujuh hingga lapan jam," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, semasa ditemui mayat itu lengkap memakai seluar pendek warna gelap lengkap bertali pinggang dan t-shirt berkolar warna kelabu, namun tiada sebarang pengenalan diri bersamanya kecuali telefon bimbit dan wang tunai sebanyak RM15.

Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas mayat itu mendapati terdapat dua kesan tikaman pada bahagian abdomen, kesan kelar di leher sebelah kanan serta calar seperti kesan seretan atau cakaran pada paha kanan.

Noorzainy berkata, pengecaman mayat dilakukan oleh adik lelaki mangsa yang memaklumkan abangnya tinggal bersama ibu mereka dan semasa kejadian si mati telah keluar rumah pada pukul 3 pagi tadi untuk ke Pasar Appollo, di sini kerana bekerja di situ.

"Menurut adiknya lagi, si mati juga tidak mempunyai musuh dan tidak terlibat dengan kegiatan jenayah, jadi dia hairan bagaimana abangnya boleh berada di kawasan tersebut (mayatnya ditemukan)," katanya.

Beliau berkata, semakan kamera litar tertutup di kawasan sekitar tidak kelihatan kelibat mangsa berada di kawasan berkenaan dan polis tidak menolak kemungkinan dia dibunuh di tempat lain.

"Polis juga tidak menemui sebarang senjata di lokasi mayat itu ditemukan dan usaha mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian itu giat dijalankan," katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi menyalurkan maklumat untuk membantu siasatan, katanya. - Bernama