KUALA LUMPUR - Polis merampas 4.5 tan dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM225 juta sepanjang tahun ini, satu peningkatan yang cukup ketara berbanding keseluruhan rampasan dari tahun 2014 sehingga tahun lepas yang berjumlah 3.6 tan.

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Senior Asisten Komsioner, Zulkifli Ali berkata, tahun ini juga menyaksikan 10,214 pengedar dadah jenis syabu ditangkap.

Beliau berkata, pertambahan besar jumlah rampasan itu disebabkan peningkatan dalam perniagaan dadah di kawasan  Segi Tiga Emas iaitu di timur laut Myanmar, utara Thailand dan barat daya Laos.

“Ini disebabkan pengeluaran yang luar biasa dari sana (Segi Tiga Emas) atau di Lembah Mekong. Bila pengeluaran luar biasa, permintaan berterusan, maka penyeludupan dadah juga berganda hingga hasil serbuan dan rampasan oleh polis turut berlipat kali ganda jumlahnya,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Menurutnya peningkatan pengeluaran dadah di kawasan itu turut memberi kesan kepada peningkatan penyeludupan dadah kepada negara-negara lain seperti Thailand, Indonesia dan Filipina.

Zulkifli berkata peningkatan jumlah rampasan itu juga menunjukkan Malaysia turut menjadi transit bagi penyeludupan dadah untuk dibawa keluar ke negara lain.

Bagaimanapun, beliau berkata keadaan masih terkawal meskipun jumlah tangkapan dan rampasan menunjukkan peningkatan saban tahun.

“Faktor pengeluaran dadah besar-besaran merupakan faktor utama mengapa permasalahan dadah masih lagi berleluasa, bukan sahaja di Malaysia, malah sekitar rantau ini,” jelasnya.

Menurut Zulkifli, penglibatan sindiket dadah silih berganti dengan mereka yang dipenjarakan pada hari ini akan kembali terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah setelah selesai menerima hukuman.

“Mereka yang telah menerima hukuman akan kembali terdorong untuk mengedar dadah bagi meneruskan kelangsungan hidup daripada sumber pendapatan dadah yang lumayan,” katanya.

Katanya isu dadah dalam negara seakan tidak mempunyai titik noktah, namun itu tidak mematahkan semangat polis termasuk JSJN dalam melaksanakan pelbagai pendekatan untuk membanteras jenayah ini.

Zulkifli berkata JSJN mempunyai jaringan kerjasama yang baik dengan pelbagai agensi dadah antarabangsa dalam perkongsian maklumat risikan efektif bagi tindakan proaktif agar lebih terkehadapan daripada sindiket dadah demi menghasilkan kejayaan berimpak tinggi.

“Sehingga kini, tiada satu negara pun yang mampu menghapuskan permasalahan ini sepenuhnya.

“Tambahan, ia dijadikan satu aktiviti perniagaan yang mampu menjana pendapatan lumayan dengan cepat. Maka, (kesedaran) membanteras aktiviti dadah memerlukan jangka masa yang panjang dan ia perlu bermula dari peringkat keluarga dan sekolah melibatkan generasi muda,” katanya. - Bernama