SHAH ALAM - Polis menahan 10 lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung sekumpulan individu menghalang lalu lintas dan bermain mercun di tengah jalan di bulatan Simpang Lima, Klang dekat sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kesemua suspek berusia 20 hingga 35 tahun terbabit ditahan secara berasingan sejak Selasa hingga hari ini di sekitar Klang dan sudah direman bagi membantu siasatan.

Mereka ditahan susulan tersebarnya satu klip video sejak Ahad yang menunjukkan beberapa lelaki berusia 20 ke 30 tahun menaiki motosikal menghalang lalu lintas manakala seorang lagi bermain mercun di tengah jalan.

“Perbuatan tersebut boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya siasatan awal polis mendapati kejadian berpunca daripada upacara pembakaran mayat seorang lelaki yang meninggal dunia akibat sakit jantung pada hari sama video itu tular.

“Lokasi kejadian dianggarkan lebih 20 meter daripada tempat pembakaran mayat itu,” katanya menambah kegiatan kumpulan tersebut tiada kaitan dengan aktiviti kongsi gelap.

Shamsul Amar berkata pihaknya masih mengesan beberapa individu lagi yang dipercayai terlibat dalam insiden itu.

Selain itu katanya, polis juga telah merampas beberapa kenderaan termasuk sebuah lori dan kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai digunakan oleh kumpulan lelaki tersebut dalam kejadian berkenaan.

Katanya, kes disiasat menurut  Seksyen 8 Akta Letupan 1957 dan Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama