KOTA KINABALU – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang lelaki tempatan selepas disyaki mencabul cucu saudara perempuannya yang berusia 13 tahun di sebuah rumah di Taman Bukit Setia, Jalan Sepanggar, Manggatal, dekat sini, Ahad lepas.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, lelaki berusia 41 tahun itu diberkas polis pada 7.53 pagi, lebih kurang satu jam selepas menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

"Kejadian berlaku pada 6.45 pagi Ahad semasa mangsa sedang tidur di rumahnya bersama adik lelaki berumur tiga tahun. Semasa kejadian, ibu bapa mangsa tiada di rumah.

"Mangsa dibantu jirannya untuk menghubungi polis selepas menyatakan dirinya telah dicabul oleh bapa saudara kepada ibunya (datuk saudara mangsa)," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Habibi berkata, suspek telah direman untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. - Bernama