KUALA LUMPUR - Seorang bekas pengurus sebuah produksi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang, di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan pemerasan untuk menyebarkan gambar bogel seorang pekerja hotel wanita, dua minggu lepas.

Shaiful Azwira Abdul Jabbar, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Haslinda A Raof.

Bapa anak lapan itu didakwa melakukan pemerasan untuk menyebarkan gambar bogel seorang wanita berusia 25 tahun jika mangsa tidak menyerahkan wang tunai RM1,000 atau melakukan hubungan seks empat kali sebulan sehingga mendatangkan ketakutan kepada wanita itu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Lembah Jaya Permai, Ampang,  di sini pada 11 malam, 7 Disember lepas, mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda atau dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak tidak menawarkan jaminan atas alasan kesalahan itu tidak boleh dijamin namun  tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon supaya jaminan dibenarkan kerana dia perlu menguruskan keluarga dan anak-anak.

“Saya mempunyai dua isteri dan lapan orang anak. Sekarang ini saya sudah tidak bekerja namun saya perlu menguruskan keluarga dan anak-anak,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang menganggu saksi serta  mangsa. Mahkamah menetapkan 15 Feb ini untuk sebutan semula kes. - Bernama